Peserta saringan menjalani ujian calitan Covid-19 secara pandu lalu di Dewan Jenjarum MBSA Seksyen 11, Shah Alam 27 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Seramai 2,385 disyaki positif, lebih 56,000 sertai saringan di 28 DUN

SHAH ALAM, 28 MEI: Seramai 2,385 individu disyaki positif Covid-19 hasil saringan di 28 lokasi sepanjang bulan ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata angka itu dikesan daripada 56,463 individu yang menyertai Program Saringan Komuniti secara percuma antara 8 Mei hingga 27 Mei.

Jumlah keseluruhan itu dikongsi beliau menerusi Facebook yang merangkumi keputusan saringan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik dan DUN Kota Damansara semalam.

Berdasarkan perkongsian Amirudin, seramai 49 daripada 2,548 individu di DUN Kota Anggerik disyaki positif manakala saringan di DUN Kota Damansara mengesan 103 disyaki positif daripada 3,017 individu.

Program saringan hari ini bertempat di Dewan Alamanda Seksyen 20, Shah Alam dan Dewan MPK, Meru Klang.

Esok, saringan diteruskan di Dewan Serbaguna Dato’ Ahmad Razali dan Dewan Serbaguna Teluk Pulai, Klang bermula jam 9 pagi hingga 4 petang. Semua saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag).

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif di seluruh 56 DUN mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.


Pengarang :