Petugas kesihatan Klinik Selcare melakukan ujian calitan ke atas peserta program Saringan Komuniti Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna Teluk Pulai, Klang pada 29 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Seramai 2,598 disyaki positif Covid-19, majoriti ‘pembawa senyap’

KLANG, 29 MEI: Seramai 2,598 daripada 62,812 individu yang menyertai program saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri disyaki positif Covid-19.

Pengurus Program Saringan Komuniti, Dr Atikah Athirah Abdul Wahid berkata golongan berisiko menyebarkan wabak itu dikesan hasil saringan di 30 lokasi sepanjang bulan ini.

Pengurus Program Saringan Komuniti Covid-19 Dr Atikah Athirah Abdul Wahid. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Majoriti mereka yang disyaki positif Covid-19 tiada gejala, jadi langkah ini sedikit sebanyak mengelak diri menjadi `pembawa senyap’,” katanya pada Program Saringan Komuniti di Dewan Serbaguna Teluk Pulai hari ini.

Sementara itu Pengurus Klinik Selcare, Mohd Noor Md Nasir berkata kehadiran warga emas ke program saringan pada Mei meningkat 30 peratus berbanding bulan sebelumnya.

“Kita dapati warga emas di luar bandar lebih ramai hadir menjalani saringan tetapi angka ini turut dipengaruhi lokasi penganjuran.

“Berbeza dengan penganjuran sebelum ini yang menumpukan lokasi panas, program ini ditambah baik dengan memperluaskan saringan di seluruh negeri,” katanya.

Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka..


Pengarang :