Polis Israel menahan seorang rakyat Palestin semasa pertempuran di pintu Gerbang Damsyik di Majid Al-Aqsa pada 8 Mei 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Serangan Al-Aqsa tindakan biadab, Selangor gesa bantahan tegas

SHAH ALAM, 9 MEI: Kerajaan Selangor menggesa Putrajaya menyatakan bantahan lebih tegas berhubung serangan Israel ke atas Baitulmaqdis ketika Ramadan.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata tindakan terkutuk zionis ketika umat Islam beribadah tidak dapat diterima atas apa jua alasan sekalipun.

“Kerajaan Negeri amat sedih dan marah mengikuti perkembangan terkini di Baitulmaqdis dan mendesak perbuatan biadab ini dihentikan segera.

“(Tekanan perlu disuarakan) di peringkat tertinggi sama ada dalam kalangan negara-negara Pertubuhan Islam Sedunia (OIC) atau Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mencadangkan Qunut Nazilah dibuat di semua masjid dan surau seluruh negeri pada malam-malam terakhir Ramadan sehingga krisis itu tamat.

Katanya, rakyat Selangor juga diminta menyuarakan bantahan dalam bahasa yang sesuai di akaun media sosial sebagai tanda keprihatinan global terhadap keganasan Israel.

“Kerajaan Negeri berharap sikap yang akan ditunjukkan oleh Kerajaan Malaysia dalam perkembangan terbaharu ini mencerminkan satu gesaan berimpak tinggi untuk menyeru bantahan bersama negara Islam.

“Oleh itu, Kerajaan Selangor menyokong apa sahaja pendekatan yang bakal diambil,” kata Mohd Zawawi.

Sekurang-kurangnya 200 rakyat Palestin cedera selepas polis Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa dan menembak jemaah menggunakan peluru getah dalam kejadian di wilayah timur Baitulmaqdis.

Memetik laporan media antarabangsa, ribuan jemaah berkumpul di majis tersebut pada Jumaat terakhir Ramadan dan melakukan demonstrasi sebagai solidariti terhadap pengusiran yang dilakukan Israel.

Polis dan pasukan sempadan Israel menyerang penunjuk perasaan menggunakan gas pemedih mata, peluru getah dan bom tangan sejak beberapa hari lalu.


Pengarang :