AGENDAEKONOMINASIONAL

Skim persaraan swasta terus catat pertumbuhan, NAV cecah RM5 bilion

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Skim persaraan swasta (PRS) melebihi RM5 bilion dalam jumlah nilai aset bersih (NAV) setakat ini, dengan setengah juta rakyat Malaysia menabung untuk persaraan mereka, mewakili peningkatan sebanyak 43 peratus daripada RM3.5 bilion setakat 31 Disember 2019.

Pentadbir Pencen Swasta Malaysia (PPA) dalam satu kenyataan berkata pengukuhan pertumbuhan NAV itu dimungkinkan oleh prestasi dana PRS yang berdaya tahan dan mantap, walaupun melalui ketidaktentuan yang berlaku pada tahun lepas serta menyaksikan bahagian pergerakan pasarannya yang saksama sejak sembilan tahun sebelum ini.

Pengerusi PPA, Datuk Zaiton Mohd Hassan berkata kejayaan ini adalah bukti keyakinan orang ramai terhadap PRS sebagai skim simpanan sukarela untuk persaraan mereka.

“Keyakinan yang diberikan ini bukanlah sesuatu yang PPA ambil ringan, itulah sebabnya kami bekerja keras setiap tahun dengan kerjasama Penyedia PRS bagi membangunkan lebih banyak perkhidmatan nilai tambah seperti PRS Online dan ciri Penamaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Syed Zaid Albar mengulas kematangan berterusan industri PRS, seperti yang dibuktikan oleh kejayaan ini, adalah seiring dengan hasrat rakyat Malaysia yang mahu mencari jalan tambahan untuk mengumpul simpanan persaraan mereka.

“SC komited untuk meningkatkan rangka kerja PRS termasuk memperluaskan penawaran dan kedalaman PRS termasuk perkhidmatan berkaitannya.

“Ini termasuk meningkatkan penggunaan teknologi untuk memperluaskan aksesibiliti skim sukarela ini dan melonjakkan tarikannya kepada generasi muda,” katanya.

Menurut PPA lagi, untuk terus memacu industri tersebut, ia akan bekerjasama rapat dengan SC, Penyedia PRS dan rangkaiannya yang merangkumi hampir 25,000 perunding PRS di seluruh negara dalam usaha berterusan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menabung untuk persaraan, terutama di kalangan belia.

Sekarang ini, kira-kira 58 peratus daripada anggota PRS berumur 40 tahun ke bawah, yang menggambarkan kedudukan yang baik untuk keselamatan persaraan masa depan negara.

“Di samping itu, pelanjutan pelepasan cukai tahunan sebanyak RM3,000 bagi skim ini sehingga 2025 seperti yang diumumkan semasa Belanjawan 2021 menunjukkan komitmen berterusan oleh kerajaan serta SC dalam mengutamakan kesejahteraan persaraan untuk semua rakyat Malaysia.

“Langkah ini memastikan rakyat kekal mendapat intensif untuk bersara selaras dengan amalan yang mantap dalam pelbagai bidang kuasa yang memberikan pelepasan cukai untuk simpanan persaraan secara sukarela,” tambahnya.

– BERNAMA


Pengarang :