BUDAYARENCANA

Sogo, 2018

Oleh Huda Dini Aqilah Azizi Redza

Ilusi Matarojit 

 I

 Ketika saya datang ke kota raya ini belasan tahun lepas, kota ini belum ada mereka. Belum ada Kak Wan dan Awe. Belum ada suri hati saya, Siti Nadrah. Saya sehelai sepinggang bersama kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia yang cukup-cukup makan, tercegat di tengah lautan manusia melihat pesatnya sebuah bandar yang pernah diceriterakan oleh lagu Belantara Konkrit. Kota ini, Kuala Lumpur. 

Perkara pertama muncul dalam kepala sejurus saya berpijak di bumi realiti: pekerjaan. Saya perlu pekerjaan. Saya termangu lama di hadapan Pasar Seni, melihat peniup kaca dan ikan bongkok yang tidak pernah saya tahu akan hilang dari pasar tersebut pada tahun-tahun berikutnya.

Ketika itu terkilas imej seorang lelaki berpakaian serba emas, berkilau seperti tugu di tengah-tengah pasar. Segenap kulitnya dicat warna sama. Orang lalu-lalang menjatuhkan syiling ke dalam mangkuk. Alangkah mudahnya mencari makan, hanya perlu memegunkan diri di tengah pasar dan mengenakan bayaran jika ada yang ingin bergambar. Saya mengumpul tekad, saya harus berjumpa lelaki ini!

Hari mulai gelap dan kawasan beransur lengang. Melihat lelaki emas itu mengangkat mangkuk syilingnya tanda ingin beredar, saya berlari mendekatinya.

“Encik boleh ajar saya cari duit?”

Lelaki itu menunjukkan wajah hairan.

“Saya perlukan duit sekarang,” suara saya semacam terlekat di rengkung. “Kalau encik boleh ajar saya, untuk jadi penghibur juga – ”

“Kalau gua ajar lu, habislah periuk nasi gua,” lelaki emas itu memotong. Saya terkesima. Harapan yang membugar tadi layu serta-merta. Lelaki itu tersenyum dan menyambung, “Tapi kalau lu mahu jadi badut, gua boleh ajar!”

Badut? Apa yang akan dikatakan emak dan ayah? Saya ke kota jauh-jauh hanya mampu jadi badut untuk cari makan? Apa pula kata orang kampung? Segala kerisauan perlahan-lahan termendak di sudut hati. Teragak-agak, saya mengangguk.

“Esok lu bawa belon dan pam!”

Saya akhirnya mencatu wang supaya dapat membeli sepaket belon. Saku saya benar-benar kosong. Sisa wang dihulur ibu bapa sebelum saya berangkat selepas ditolak belanja tambang, hanya dua puluh ringgit.

Keesokan malamnya, saya berjumpa lelaki itu, yang meminta dipanggil Dingdong. Dingdong mengajar saya memintal belon sebelum meminjamkan kemeja dan jumpsuit denim. Dia juga membelikan saya cat muka berwarna putih dan merah.

“Tak payah macam badut Barat. Cukup solek mata dan mulut, lepas tu pintal belon lu cantik-cantik,” pesan Dingdong ketika menyerahkan semua barang itu kepada saya.

 Sejak hari itu, saya jadi anak didik Dingdong. Susah juga menjadi badut pada era itu. Stigma masyarakat masih menebal bahawa badut pekerjaan hina, membodohkan diri, agenda Yahudi. Kota raya cuacanya panas terik tak seperti desa yang sering dikunjungi semilir. Kadangkala pendapatan saya selepas diasingkan untuk keluarga di kampung, lebihannya saya beri kepada Dingdong. 

II

Kata Kak Wan, dia bosan duduk di rumah. Apa salahnya turun melawat jalanan, mencari sesuatu yang tidak mungkin ketemu di pejabat-pejabat berpendingin hawa mahupun dewan-dewan kuliah. Hatinya bak ferum, kalis umpatan jiran tetangga yang melihat fotonya sebagai badut di Facebook walaupun berhijab labuh. Suaminya merestui kerana faham rasa sepi Kak Wan di rumah sementelah mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Kak Wan kata, pekerjaan ini membolehkan dia membantu suaminya dan mengamati kehidupan orang lain. Kak Wan menyedarkan saya bahawa belon juga dapat menjadi wacana dakwah tentang kehidupan. Mengapa saya tidak pernah terfikir?

Melalui belon-belon, saya bercerita. Tentang alam, tentang kebobrokan moraliti dan komuniti, tentang cinta saya pada gadis manis yang selalu singgah bersama rakannya membeli belon selang seminggu. Siti Nadrah namanya. Cinta saya bersambut. Syukurlah orang tuanya tidak menghina pekerjaan saya. Kami diijabkabul dalam satu majlis sederhana.

 “Nadrah tak malu bersuamikan badut?” 

“Kenapa mesti malu?” Nadrah tersenyum segaris.

“Abang janji, abang akan bagi Nadrah rasa senang juga suatu hari nanti.” Tangan Nadrah saya genggam kemas-kemas.

Semakin hari, kehidupan saya bertambah senang. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak akan menahan saya kerana saya kini mempunyai Kad Seniman sebagai lesen penghibur. Saya digaji lima ratus ringgit sehari. Dalam sebulan, saya hanya perlu bekerja selama dua puluh satu hari. Pendapatan seorang badut yang sering menjadi tohmahan ini menyamai pendapatan seorang doktor perubatan. Bukannya merendahkan kerjaya lain, saya mahu orang tahu bahawa kerjaya saya juga punya nilai dan maruah.

Di puncak kegemilangan, saya diuji. Nadrah didiagnosis dengan kanser otak tahap ketiga. Siapa sangka sel kanser itu cepat merebak kerana terlambat dirawat. Kini Nadrah menjadi penghidap barah tahap keempat. Saya benar-benar putus asa dengan takdir, keluarga dan Kak Wanlah yang selalu menjadi penguat. Setiap hari saya menangis, berdoa dalam sujud. Penyakit Nadrah telah membawa saya kepada Tuhan.

 Ketika saya membuat persembahan di kompleks SOGO pada Januari 2018 itulah Awe muncul dalam hidup saya. 

III

Sudah tiga tahun rancangan realiti Murabbi tidak muncul di kaca televisyen. Saya tertanya-tanya juga kerana sepanjang proses mendalami agama, saya banyak menonton rakaman program-program sebegitu di YouTube. Awe orang hebat, pernah mengaji pondok lima tahun, pernah jadi finalis rancangan Murabbi. Katanya dia mahu menimba pengalaman hidup. Seperti Kak Wan, dia memilih jadi badut separuh masa.

Ketika Awe mengetahui kisah hidup saya dia mendakap saya erat-erat dengan juraian air mata kesedihan. “Izzat, aku belajar jadi badut dengan kau, kau belajar agama dengan aku, ya?”

Mac 2018, kali pertama saya mengikuti Awe ke sebuah sekolah di Johor untuk memberi ceramah lantaran dijemput bekas guru Awe yang mengajar di situ. Saya diundang memintal belon sebagai hadiah kepada mereka yang berani menjawab soalan dalam slot terakhir. Kemudian saya berkongsi cerita kronologi hidup saya. Rata-ratanya menangis terharu. Tengah hari esoknya, kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur. 

Surau yang kami singgah lengang sekali. Kesedihan saya semuanya melarut dalam setiap takbir Awe. Pelupuk mata saya basah, begitu juga karpet biru yang melapik lantai.

Perjalanan pulang terasa sangat lama seperti tiada penghujung. Seolah-olah ini sebuah perjalanan mencari Tuhan. Kami sama-sama menghayati ceramah dari radio IKIM FM tentang golongan Islam liberal yang kebanyakannya terdiri daripada tenaga profesional tanah air.

Keesokan harinya, saya kembali ke tempat kerja. Bersama pam belon, wajah berconteng dan belon panjang aneka warna. Saya terus memintal dan memintal bentuk-bentuk yang diminta kanak-kanak yang terpukau oleh indah belon bunga mawar dan beruang comel.

Setiap nafas ini ialah denyut nadi Nadrah. Setiap warna dan pintalan ialah jalan kehidupan kami pada hari esok, lusa dan sampai bila-bila.


Pengarang :