Pesara, Abdul Hai Ismail Pakir Muhiddin Shah, 75, (dua, kiri) dan isteri Endot Hairudin, 72, (kiri) menyambut ketibaan sanak-saudara sempena Aidilfitri yang disambut dalam norma baharu pada 24 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

STFC saran hanya lima individu ziarah Aidilfitri jika rumah sempit

SHAH ALAM, 10 MEI: Hanya lima individu dinasihatkan berada dalam rumah yang sempit ketika ziarah Aidilfitri nanti, demikian nasihat Ahli Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Prof Dr Adeeba Kamarulzaman berkata kajian menunjukkan kuman lebih cepat merebak apabila ruang sempit serta tahap pengudaraan tidak baik.

“Ketika musim raya nanti, jika kawasan rumah sempit sebaik-baiknya tidak lebih dari lima orang sahaja boleh berada dalam rumah, ini kerana sejarah menunjukkan ramai yang dijangkiti Covid-19 akibat dari perjumpaan sosial seperti kenduri dan majlis berbuka puasa.

“Dalam bilik tertutup, kuman boleh berada di udara dalam tempoh tertentu sebelum ia jatuh ke tanah, pada waktu itu jika tiada penjarakan sosial dan tiada pematuhan tatacara operasi piawai (SOP), ia boleh menjangkiti kita,” katanya ketika forum ‘Tanya Apa Saja: Covid-19 Membunuh?’ secara langsung di Facebook, hari ini.

Turut sama pada forum itu ialah EXCO Kesihatan Awam, Dr Siti Mariah Mahmud dan Pengarah Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFO), Dr Mohammad Farhan Rusli.

Dr Adeeba yang juga pakar perubatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya berkata beliau faham ramai yang sudah bosan dan letih kerana terpaksa berdepan dengan penjarakan sosial serta memakai pelitup muka.

“Namun jika anda tidak mahu menjadi pesakit saya di masa hadapan, teruslah patuhi semua SOP ini, sudah setahun lebih kita lalui situasi ini, pasti ramai yang sudah faham dan tahu cara-cara untuk mengelakkan daripada diri dijangkiti.

“Teruskan jaga SOP dan kita perlu ambil tindakan mencegah daripada hanya menunggu arahan kerajaan,” katanya.

 


Pengarang :