Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Serbaguna MPAJ, AU2, Hulu Kelang pada 18 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

STFC: Saringan Komuniti bertujuan lindungi rakyat

SHAH ALAM, 24 MEI: Saringan Komuniti diperkenalkan bertujuan melindungi kesihatan serta kebajikan rakyat akibat penularan Covid-19, kata Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata negeri ini yang menerajui sektor ekonomi terbesar negara menyumbang kepada berlakunya penularan wabak di tempat kerja.

“Populasi Selangor yang tinggi iaitu 6.9 juta dan kesesakan pekerja serta perindustrian, bersekali dengan mobilisasi manusia yang pesat, kesemuanya terkait langsung dengan kadar penularan serta perebakan virus ini,” katanya.

Beliau berkata demikian di Facebook menerusi segmen “Anda Tanya, Dr Dzul Jawab” menjawab soalan berkaitan rasional Selangor membuat Saringan Komuniti.

Tambahnya, golongan berpendapatan rendah (B40), bekerja sendiri selain kakitangan swasta dan kerajaan menjadi keutamaan Kerajaan Negeri untuk mendapat inisiatif itu.

Sejak 8 Mei hingga 10 Jun, Kerajaan Selangor menjalankan pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag).

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 menyasarkan individu berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

 


Pengarang :