Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap pada sidang media khas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor di kediaman rasminya di Shah Alam pada 5 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tabung Selangor Prihatin bantu rakyat Palestin

SHAH ALAM, 19 MEI: Kerajaan Selangor menubuhkan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin bagi membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan kempen selama 10 hari bermula 19 Mei menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta.

“Sebagai solidariti dengan rakyat Palestin, Kerajaan Selangor setuju menubuhkan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin yang akan disalur kepada mangsa di Palestin.

“Kutipan digerak dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dan dilaksanakan melalui sistem e-kerajaan selain sumbangan wakil rakyat, anak syarikat Kerajaan Negeri, swasta dan sumbangan peribadi, ” katanya.

Amirudin dalam pada sidang media hari ini berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) juga meluluskan sumbangan kepada rakyat Palestin melalui Global Peace Mission Malaysia.

Beliau berkata bantuan berkenaan dalam bentuk ambulans dan kenderaan pelbagai guna serta dilengkapi ubat-ubatan yang menjadi keperluan penduduk negara itu.

“Mereka yang menyumbang akan dipertimbang untuk pengecualian cukai mengikut syarat-syarat yang akan ditetapkan,” katanya lagi.


Pengarang :