Dato’ Seri Amirudin Shari menerima cek cura disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Siti Zubaidah Abd Jabar untuk Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin pada 24 Mei 2021. Foto Pejabat Dato’ Menteri Besar
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tabung Selangor Prihatin untuk rakyat Palestin kutip lebih RM200,000

SHAH ALAM, 24 MEI: Kerajaan Negeri berjaya mengutip RM223,957.77 untuk Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin sejak ia dibuka 19 Mei lepas.

Dato’ Menteri Besar berkata tabung bagi membantu rakyat Palestin dilancarkan hari ini dengan menyasarkan kutipan RM1 juta dalam tempoh 10 hari.

“Penyumbang terawal adalah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) berjumlah RM107,930, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (RM67,000), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (RM21,250) dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia Selangor (RM10,000).

“Turut menghulur sumbangan Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer Mohd Sany Hamzan (RM7,777.77) serta sumbangan peribadi saya berjumlah RM10,000,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kempen Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini.

Amirudin berkata kutipan diserah kepada Global Peace Mission Malaysia (GPM) untuk pembelian SelangorAid Ambulans yang dilengkapi pelbagai kelengkapan bernilai RM350,000 dan SelangorAid trak (RM450,000).

“Baki sumbangan berjumlah RM150,000 digunakan pembelian makanan dan minyak generator (RM50,000),” katanya.

Tambah beliau mereka yang menyumbang bakal menikmati pengecualian cukai dengan mengemukakan resit dikeluarkan Kerajaan Negeri.

Pihak berminat boleh mendapatkan maklumat menerusi laman sesawang www.pedulipalestin.com/selangor dan menyalurkan bantuan ke nombor akaun 8604747531 –  Bendahari Negeri Selangor (CIMB ISLAMIC) dengan rujukan Palestin.


Pengarang :