Petugas kesihatan Klinik Selcare melakukan ujian calitan ke atas peserta program Saringan Komuniti Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna Teluk Pulai, Klang pada 29 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Tepis tanggapan Covid-19 tidak jangkiti ahli keluarga, kenalan rapat

KLANG, 31 MEI: Rakyat negeri ini diminta menepis tanggapan Covid-19 tidak menjangkiti antara ahli keluarga dan kenalan rapat sehingga mengabaikan tatacara operasi piawai (SOP).

Ahli Dewan Negeri Bandar Baru Klang berkata perkara seperti itu menjadi salah satu punca peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

“Saya beri peringatan supaya masyarakat terus berwaspada memandangkan virus ini boleh menjangkiti bila-bila masa sahaja tanpa mengenal sesiapa, bangsa mahupun agama.

“Pemerkasaan amalan norma baharu seperti penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, menjaga kebersihan dan mengelak perhimpunan ramai penting saat ini, jadi kita perlu sama-sama jaga,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau ditemui pada program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajan Selangor di Dewan Serbaguna Eng Ann di sini semalam.

EXCO Kerajaan Negeri itu berkata seramai 2,600 individu mendaftar awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan sehingga jam 2 petang, hampir 2,000 peserta membuat saringan secara terus serta pandu lalu sejak kaunter dibuka.

“Daripada jumlah ini, lebih 1,000 keputusan diketahui dengan hanya sembilan kes disyaki positif sekali gus membuktikan kadar jangkitan di kawasan ini amat rendah, namun kita menunggu secara penuh nanti,” katanya.


Pengarang :