Dato’ Abd Hamid Hussain (tiga, kanan) menyampaikan cenderamata kepada wakil media sempena majlis Iftar bersama media dan ketua jabatan MPSp 2021 di Hotel Le Meridien, Putrajaya pada 30 April 2021
PBTSELANGOR

Tiada kompaun babit aktiviti bazar Ramadan di Sepang

PUTRAJAYA, 2 MEI: Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) tiada mengeluarkan sebarang kompaun terhadap pengunjung dan peniaga bazar Ramadan atas kesalahan mengingkari tatacara operasi piawai (SOP) setakat Jumaat lalu.

Yang dipertuanya berkata pihaknya mengambil pendekatan menasihati dan menegur orang ramai jika berlaku pelanggaran SOP berbanding mengenakan tindakan serta-merta.

“Saya berpuas hati kerana lebih 60 peratus pengunjung dan peniaga mematuhinya dengan memakai pelitup muka, mengawal penjarakan fizikal termasuk arahan larangan membawa kanak-kanak berusia bawah 12 tahun mengunjungi bazar.

“Diharap kesedaran masyarakat terus meningkat, namun kawalan sepanjang masa akan dibuat bagi memastikan operasi berjalan lancar. Jika perlu, kita akan buat siar raya supaya pelanggan tidak berada di gerai juadah terlalu lama,” kata Dato’ Abd Hamid Hussain.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Iftar bersama media dan ketua jabatan MPSp 2021 di Hotel Le Meridien di sini Jumaat lalu.

Bermula 20 April, Kerajaan Negeri menyelaras semula penguatkuasaan SOP seluruh bazar Ramadan dan Aidilfitri bagi mengelak kluster baharu serta gelombang keempat Covid-19.

Ketetapan baharu antaranya melibatkan laluan sehala, pelaksanaan sistem bernombor, mengehadkan bilangan pengunjung dan kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan.

Sementara itu, Abd Hamid berkata program berbuka puasa dianjurkan sebagai menghargai peranan pengamal media yang banyak menerbitkan artikel dan maklumat berkaitan MPSp.

“Walaupun maklumat boleh diperoleh daripada media sosial tetapi peranan media cetak dan elektronik penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan betul.

“Memandangkan Sepang antara PBT yang sedang membangun, jadi maklumat pembangunan, aktiviti serta hal ehwal pentadbiran ini perlu disampaikan kepada masyarakat,” katanya.


Pengarang :