Dato’ Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Majlis Iftar Perdana KEADILAN Negeri Selangor di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 1 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tolak permohonan geran filem, tindakan Finas bermotifkan politik – Anwar

SHAH ALAM, 4 MEI: Tindakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menolak permohonan geran penerbitan filem ‘Angel of Sandakan’ bermotifkan politik, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang itu berkata alasan diberikan Finas untuk menolak permohonan dibuat penerbit filem Datuk Afdlin Shauki juga mengecewakan.

“Penolakan ini bermotifkan politik dan alasan diberikan Finas bagi menafikan dakwaan tersebut amat cetek dan dangkal sama sekali.

“Meski orang yang bertanggungjawab mengemudi Finas saat ini adalah orang politik, saya yakin isu ini dapat dilihat dan diurus tanpa pengaruh dan kecenderungan politik,” katanya menerusi Facebook.

Ahli parlimen Port Dickson itu juga meminta Finas mengkaji semula permohonan dibuat Afdlin demi menggerakkan semula industri perfileman tempatan.

Afdlin menerusi Facebook miliknya pada 29 April lalu meluahkan rasa kecewa apabila permohonan untuk mendapatkan geran Finas untuk penerbitan filem ‘Angel of Sandakan’ ditolak selain turut menyatakan penolakan itu mungkin berpunca dari sokongannya terhadap KEADILAN.

Afdlin berkata projek penerbitan filem tersebut adalah untuk memenuhi keinginan kerajaan untuk tercalon atau memenangai anugerah di Academy Awards atau Oscars.

Susulan itu, Jumaat lalu, Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid dilaporkan berkata penolakan permohonan Afdlin itu sama sekali tidak membabitkan unsur pilih kasih atau sentimen perkauman dan kecenderungan politik.


Pengarang :