Peserta saringan menjalani ujian calitan Covid-19 secara pandu lalu di Dewan MPAJ Pandan Indah, Ampang pada 11 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tolak tanggapan hanya bergejala perlu buat saringan

AMPANG, 12 MEI: Masyarakat harus menolak pemikiran hanya individu bergejala perlu membuat saringan bagi mengesan jangkitan Covid-19, kata pengurus Klinik Selcare.

Mohd Noor Md Nasir menjelaskan tanggapan itu kurang tepat berikutan 80 peratus kes dalam ujian sebelum ini membabitkan pesakit tanpa gejala.

“Persepsi sebegitu tidak tepat dan kita minta semua orang ada kesedaran buat saringan supaya mengetahui status kesihatan diri sama ada menjadi pembawa atau bukan.

“Tujuan saringan diadakan adalah bagi memastikan semua lapisan masyarakat dapat menyertainya dan tidak semestinya yang mempunyai gejala sahaja,” katanya.

Mohd Noor Md Nasir

Beliau ditemui pada program saringan Covid-19 secara percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan MPAJ Pandan Indah di sini semalam.

Mohd Noor menjelaskan risiko perebakan wabak dalam komuniti meningkat jika individu tanpa gejala bergerak bebas tanpa mengetahui status kesihatan mereka.

“Ia agak merisaukan lebih-lebih lagi apabila sektor ekonomi dibuka, individu tidak bergejala ini akan bebas bergerak dan ulang-alik dari tempat kerja.

“Jadi risiko untuk merebakkan kepada rakan sekerja dan masyarakat di amat tinggi memandangkan individu berkenaan tidak tahu dirinya adalah pembawa senyap,” katanya lagi.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN sejak 8 Mei hingga 10 Jun.

Saringan dimulakan di DUN Kajang dan Semenyih pada 8 Mei, Sungai Ramal dan Balakong (9 Mei) Teratai dan Dusun Tua (10 Mei) sebelum diteruskan di Lembah Jaya dan Pandan Indah semalam.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.


Pengarang :