Masyarakat diminta menyemak dahulu kesahihan sesuatu maklumat sebelum dikongsi dalam media sosial bagi mengelak penyebaran berita palsu dan maklumat tidak tepat. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tular berita palsu Covid-19, polis buka 12 kertas siasatan

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka 12 kertas siasatan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021 berhubung penularan berita tidak benar mengenai Covid-19.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021 membabitkan mereka yang mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengeliling atau menyebarkan apa-apa berita tidak benar sehingga menyebabkan ketakutan atau kebimbangan orang ramai.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata terkini satu kertas siasatan dibuka terhadap kenyataan Facebook yang dikeluarkan seorang lelaki mendakwa pesawat penerbangan MH191 dari New Delhi, India dikatakan membawa masuk penumpang ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata kenyataan itu tidak benar dan boleh menimbulkan kegusaran serta kebimbangan orang ramai berhubung langkah diambil kerajaan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Selain itu, katanya PDRM turut menjalankan siasatan terhadap seorang lagi lelaki pemilik akaun Facebook mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat hantaran yang mengandungi kenyataan jelik serta mengaibkan kerajaan.

“Kedua-dua hantaran itu dibuat selepas kerajaan mengeluarkan arahan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 28 April lalu yang melaksanakan sekatan sementara penerbangan penumpang keluar dan masuk dari India bagi mencegah kemasukan varian baharu Covid-19 dari negara berkenaan,” kata Huzir dalam satu kenyataan semalam.

Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) yang diwartakan pada 11 Mac lalu adalah khusus untuk mengekang aktiviti penghasilan dan penularan berita tidak benar yang mempunyai kaitan dengan wabak Covid-19 atau Proklamasi Darurat 2021.

Undang-undang ini sekali gus memberi kuasa kepada PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menangkap tanpa waran mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang cuba menyiar serta menyebarkan berita tidak benar khususnya di media sosial.

-BERNAMA

 


Pengarang :