Antara gerai di Bazar Ramadan Bandar Kinrara yang mendaftar saluran e-dagang Platform Selangor (PLATS) pada 19 April 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Ubah nasib penjaja, bantu miliki kedai sendiri

SHAH ALAM, 3 MEI: Kerajaan Negeri berusaha mengubah nasib 75 peratus daripada 22,000 penjaja melalui saluran e-dagang Platform Selangor (PLATS) supaya mereka boleh memiliki kedai sendiri .

Ketua pegawai operasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) berkata golongan ini dibahagi kepada dua kategori, pendapatan bawah RM100 sehari dan lebih RM100 sehari.

Soffan Affendi Aminudin juga menjelaskan kategori tiga pula memiliki satu premis kedai dan keempat memiliki rangkaian kedai.

“Kami mensasarkan golongan satu dan dua ini dapat mengubah perniagaan mereka menjadi golongan tiga serta empat. Kesan ekonomi menjadi luas jika kita latih mereka berada di dalam platform yang betul (PLATS).

“Mereka ini adalah golongan berpendapatan rendah (B40) dan mengubah mereka kepada pendapatan sederhana (M40) adalah kejayaan yang besar untuk negeri ini,” katanya kepada Selangorkini.

Selain PLATS, katanya, Inisiatif Rakan Digital Selangor (Rakan Digital) diperkenal bagi membimbing peniaga kecil menjana pendapatan termasuk kaedah pemasaran di media sosial.

Beliau memaklumkan langkah-langkah Kerajaan Negeri dalam memastikan kelestarian ekonomi sebagai reaksi Laporan Tahunan 2020 Bank Negara Malaysia yang meramalkan ekonomi berkembang pada kadar 6 hingga 7.5 peratus tahun ini.

Selangor memperkenal PLATS setahun lalu ketika negara berdepan dengan kemelut Covid-19 yang mengakibatkan kawalan pergerakan orang ramai mulai Mac.

Sewaktu melancarkan Inisiatif Rakan Digital pertengahan bulan ini, Dato’ Menteri Besar berkata ia dibentuk berdasarkan pengalaman tahun lalu.

“Kita dapati peniaga tidak bersedia (berniaga dalam talian) kerana duit tidak nampak depan mata, mereka tidak yakin.

“Jadi, kita lihat ekosistem berniaga dalam talian perlu dilengkapkan, maka ditubuhkan Rakan Digital untuk memberi nasihat kepada peniaga,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.


Pengarang :