Pekerja kesihatan menerima vaksin Covid-19 jenis Sinovac di Hospital Pattani di Selatan Thailand pada 30 April 2021. Foto: BERNAMA
RENCANAWAWANCARA

Usaha yakinkan migran jangan takut ambil vaksin

Oleh Nina Muslim

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Abdullah Abbass, 25, mahu mendapatkan segera vaksin Covid-19 sebaik sahaja ianya diberi kepada semua orang di Malaysia.

Cuma ada satu perkara yang membimbangkan pelarian Rohingya ini yang ketika ini tinggal di Selayang.

“Saya tak takut vaksin. Apa yang saya takut saya akan diusir jika saya pergi ambil vaksin kerana saya tak boleh balik ke Myanmar,” Abdullah memberitahu Bernama menerusi seorang jurubahasa.

Berlainan pula halnya dengan Jenny (bukan nama sebenar) yang ditemui di sebuah rumah orang tua di Lembah Klang.

Wanita Filipina yang berusia 36 tahun ini tidak mahu divaksin tetapi mungkin perlu melakukannya sebagai syarat penggajian. “Saya takut divaksin, tak pasti sama ada ia selamat atau tidak.

“Saya takut kesan sampingannya, ” kata Jenny, sambil menambah dia ada membaca tentang kesan sampingan vaksin dalam media sosial.

Abdullah dan Jenny tiba di Malaysia in 2014, seorang mencari perlindungan, sementara yang seorang lagi mencari pekerjaan dan pada akhirnya, kedua-duanya mungkin tidak akan mengambil vaksin kerana faktor ketakutan itu.

Pakar kesihatan serta pemimpin masyarakat bimbang rasa takut ini mungkin menghalang migran mengambil vaksin, sedangkan mereka kumpulan yang paling berisiko dijangkiti Covid-19 dan boleh menjangkiti orang lain.

Sekiranya keadaan ini berlaku, sudah tentu ia akan menjejaskan usaha Malaysia untuk mencapai sasaran imuniti kelompok.

Jamin tiada tindakan

Malaysia berhasrat memberi imunisasi kepada 80 peratus atau sekurang-kurang 23.6 juta penduduk dewasanya, untuk mencapai imuniti kelompok.

Untuk itu, vaksin akan diberikan secara percuma kepada warganegara dan bukan warganegara di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Mengikut perancangan, penduduk bukan warganegara akan mula mendapatkan vaksin mereka pada Fasa Tiga, yang dijadualkan bermula pada bulan Jun, meskipun migran tanpa dokumen, mereka yang digelar tanpa negara dan pelarian berkemungkinan divaksin pada tahun 2022, iaitu penghujung Fasa Ketiga PICK.

Untuk menggalakkan kumpulan migran ini tampil bagi mendapatkan vaksin, kerajaan Malaysia dillaporkan berjanji tidak akan mengambil apa-apa tindakan ke atas mereka.

Menurut Menteri Penyelaras untuk Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF), Khairy Jamaluddin Abu Bakar, pihaknya akan mendapatkan bantuan pemimpin komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan hak antarabangsa serta kedutaan.

Ketika pakar kesihatan awam, wakil kumpulan komuniti dan wakil kumpulan migran mengalu-alukan keputusan kerajaan Malaysia untuk memberikan vaksin secara percuma, mereka juga tidak yakin janji berkenaan dapat menyakinkan kumpuLan berkenaan.

Mereka merujuk kepada dasar kerajaan pada tahun lalu yang tidak akan mengenakan tindakan ke atas migran untuk menggalakkan mereka beramai-ramai menjalani ujian saringan COVID-19 yang kemudiannya ditukar.

Kira-kira 2,000 migran, termasuk mereka yang mencari suaka politik, ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dalam beberapa serbuan di kawasan panas Covid-19 di Lembah Klang. Kerajaan Malaysia mempertahankan langkah berkenaan sebagai penting untuk membendung penularan Covid-19.

Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia itu amat memberi kesan kepada usaha pihaknya untuk memberi ujian saringan Covid-19 percuma kepada migran.

“Selepas ramai pendatang tanpa dokumen ditangkap, ditahan dan ada yang diusir ke negara asal, tindakan itu membuatkan tiada migran tampil untuk menjalani ujian saringan itu, ” katanya.

Beliau menyuarakan kebimbangannya perkara yang sama mungkin berlaku ke atas usaha vaksinasi.

Kesemua migran yang bercakap dengan Bernama berkata mereka tidak mahu menanggung risiko selepas apa yang berlaku tahun lalu.

Bagaimanapun, seorang pekerja asing yang bekerja disebuah pusat penjagaan berkata dia memang mahu mengambil vaksin supaya tidak bimbang apabila pulang ke India.

“Nanti saya pergi (masa vaksinasi), saya kena tahan sebab mereka tanya banyak soalan dan ada yang saya tak boleh jawab, ” katanya.

Baru-baru ini ada NGO yang meminta kerajaan Malaysia memberikan jaminan yang lebih menyakinkan.

Khairy, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ketika mengulas perkara berkenaan berkata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin maklum akan kebimbangan itu.

Meskipun mungkin tiada lagi janji kerajaan Malaysia untuk tidak lagi mengenakan sebarang tindakan ke atas migran, terdapat tanda, ia tidak akan berulang. Mungkin penunjuk terbaik dasar tidak mengenakan sebarang tindakan ke atas migran datang daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada bulan Februari lepas.

Sewaktu ditanya sama ada migran tanpa dokumen perlu ditahan bagi membantu proses vaksinasi, beliau berkata, tidak, sambil menyatakan banyak berlaku kes positif Covid-19 di pusat tahanan yang kemudiannya merebak kepada komuniti pada tahun lalu.

Meskipun, janji berkenaan mungkin menyediakan persekitaran yang selamat untuk migran mendapatkan vaksin, namun ia tidak menangani isu menyakinkan mereka akan manfaat serta kepentingan divaksin.

Bimbang kesan sampingan

Selain daripada ketakutan ditangkap dan ditahan, sebarang usaha untuk mendampingi komuniti migran perlu menyentuh soal keselamatan vaksin serta keengganan mengambil vaksin.

Kesemua migran yang bercakap kepada Bernama mempunyai soalan mengenai vaksin, termasuk bila vaksin itu boleh diperolehi, bagaimana ia diberi dan siapa yang perlu mengambilnya.

Beberapa orang menzahirkan kebimbangan ditahan sementara yang lain takut akan kesan sampingan serta kemungkinan reaksi buruk vaksin, semuanya ini kerana salah maklumat.

Seperti rakan senegaranya Jenny, Thelma dari Filipina takut mengambil vaksin selepas menonton video seorang yang mengambil vaksin didakwa mati selepas berbuat demikian.

“Saya tengok di Facebook, di Filipina, tempat itu sudah ada yang mengambil vaksin. Ada seorang lelaki berumur 55 tahun, dia jadi lemah dan tumbang, ” katanya. Carian penulis di internet tidak menemui berita seperti yang dikongsi Thelma.

Apa pun, komunikasi yang berkesan mengenai maklumat tepat amat penting untuk migran juga penduduk lainnya.

Seorang pegawai dengan sebuah kumpulan migran antarabangsa, yang tidak mahu disebut nama berkata, memperkasakan pemimpin komuniti, NGO dan kumpulan lain serta bercakap dengan komuniti yang mereka beri perkhidmatan dapat merapatkan jurang maklumat.

“Ramai termasuk warganegara bimbang dengan kesan sampingan vaksin. Tak banyak maklumat bahawa penduduk migran mungkin menerima vaksin dalam bahasa ibunda mereka, itu juga satu lagi halangan, ” katanya.

Sesetengah pemimpin komuniti dan NGO seperti Rafik Shah Mohd Ismail, pemimpin komuniti untuk pelarian Rohingya di Selayang, mula mengorak langkah memberi penerangan kepada kumpulan masyarakat yang mereka dampingi.

Rafik berkata beliau berbuat demikian untuk memastikan komunitinya faham mengapa vaksin itu penting, meskipun kerajaan belum mengumumkan mekanisme untuk vaksinasi berkenaan.

“Sebelum nak daftar tu, kami kena bagi maklumat yang tepat berkaitan dengan vaksin ini. Kita tahu pelarian dari sudut pengetahuan am mereka agak kurang kerana kebanyakan mereka ini tidak ada pendidikan,” katanya, yang melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana mahu memberi vaksin secara percuma kepada kumpulan pelarian dan migran lain.

Alex Ong, dari Migrant Care, berkata, di samping manfaat saintifik vaksin, mesej lain yang perlu disampaikan kepada migran ialah bagaimana vaksin akan membolehkan mereka kembali kepada kehidupan normal dan mungkin membantu kemampuan mereka untuk bekerja.

Abdullah yang bersetuju dengan kenyataan ini berkata, beliau memilih untuk mempercayai janji kerajaan Malaysia dan mahu mengambil vaksin, jika itu langkah terbaik untuk meneruskan kehidupan dan menjaga keluarganya.

“Saya pasrah. Vaksin kena ambil tapi kalau lepas tu kena tangkap, beserah sajalah,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :