Imbasan berwarna mikrograf elektron sel apoptosis (coklat kehijauan) yang dijangkiti Covid-19 (merah jambu) yang diasingkan dari sampel ujian pesakit di Maryland, Amerika Syarikat. Foto REUTERS
AGENDA NASIONAL

Varian kacukan di Vietnam belum dikesan di Malaysia

PUTRAJAYA, 31 MEI: Varian Covid-19 baharu, iaitu gabungan varian India dan United Kingdom (UK) yang kini ditemui di Vietnam masih belum dikesan di negara-negara lain termasuk Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mempertingkat ujian saringan Covid-19 terutamanya terhadap individu yang datang dari negara mempunyai varian yang membimbangkan (VOC) bagi mengekang kemasukan varian kacukan itu.

“Kes kacukan varian iaitu India dan UK ini dilaporkan di Vietnam, kita masih belum kesan di negara-negara lain (termasuk Malaysia). Oleh itu, kita pertingkatkan kawalan sempadan dan saringan halang kemasukan varian baharu ke negara,” katanya pada sidang media bersama-sama Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini, semalam.

Sabtu lalu, media tempatan melaporkan bahawa pihak berkuasa Vietnam mengesan varian baharu virus Covid-19 yang merupakan gabungan varian India dan UK serta tersebar melalui udara dengan pantas.

Menteri Kesihatan Vietnam, Nguyen Thanh Long menggambarkan varian baharu itu sebagai kacukan daripada dua varian yang diketahui sebelum ini dan varian baharu itu merupakan varian India dengan mutasi yang asalnya daripada varian UK serta lebih berbahaya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh bermula Selasa (1 Jun) dapat memberi ruang kepada KKM untuk melaksanakan tindakan kesihatan awam dengan lebih baik bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di negara ini.

“(Sekatan) ini dapat memberi ruang selama dua minggu untuk pemulihan hospital, ruang masa untuk petugas kesihatan berehat serta KKM dapat melihat keperluan peralatan dan sebagainya dalam tempoh itu.

“Dalam tempoh ini, kita akan laksanakan tindakan kesihatan awam seperti saringan bersasar di lapangan dengan mereka yang positif diasingkan serta diberi rawatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata strategi duduk di rumah dan vaksinasi yang dilaksanakan di seluruh negara ketika ini akan dapat membantu melandaikan lengkuk Covid-19 dalam tiga hingga empat bulan akan datang.

“Kita perlu amalkan budaya yang baharu iaitu duduk di rumah selain pertingkatkan vaksinasi untuk memastikan penularan Covid-19 dapat diputuskan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :