Orang ramai yang membeli barangan keperluan di sebuah pasar raya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketat dengan memakai pelitup muka ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan pada 5 Februari 2021. Foto BERNAMA
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat gesa ikut SOP, sedia bantu penduduk terkesan PKP

SHAH ALAM, 6 MEI: Wakil rakyat di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berharap penduduk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal menyifatkan PKP di enam daerah negeri ini langkah tepat berikutan merekodkan jumlah kes pandemik yang tinggi.

“Kawasan saya khususnya Bandar Baru Bangi tumpuan ramai untuk membeli-belah. Kita khuatir mesej kesedaran tidak sampai kepada mereka jika orang Bangi tidak bimbang mengenai perkara ini.

Mazwan Johar

“Jadi kita berharap pihak berkuasa dapat memantau lebih ketat SOP di kawasan tumpuan selain memastikan tiada pihak cuba merentas daerah,” kata Mazwan Johar ketika dihubungi.

Katanya, dalam tempoh berkenaan pihaknya juga akan mengagihkan bantuan makanan kepada golongan memerlukan yang dianggar mencecah ratusan keluarga.

Wakil rakyat Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin pula meminta orang ramai mendapatkan maklumat tepat dan terkini berhubung SOP PKP bagi mengelakkan kekeliruan.

“Bantuan ketika PKP juga sentiasa diberikan dengan kerjasama wakil penduduk. Mereka yang memerlukan sumbangan boleh maklumkan melalui e-mel [email protected],” katanya.

Sementara itu, ADN Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed berpendapat risiko pelanggaran SOP mungkin tinggi ketika ziarah Aidilfitri.

Dr Gunarajah R George

“Jumlah 15 orang itu tidak ada masalah jika masing-masing mengikut SOP tetapi kita harap semua pihak dapat meminimumkan masa kunjungan mereka,” katanya.

ADN Sentosa Dr Gunarajah R George pula berkata beliau memahami situasi dialami peniaga yang terkesan berikutan PKP dan berharap mereka menggunakan kaedah jualan dalam talian.

“Bagi asnaf yang terkesan pula saya minta mereka datang ke pusat khidmat kerana kita ada peruntukan bagi membantu golongan ini,” katanya.

Enam daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang dikenakan PKP mulai hari ini hingga 17 Mei.


Pengarang :