Orang awam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka semasa berada di tempat awam ketika tinjauan di sekitar Bandar Klang pada 15 Oktober 2020. Foto BERNAMA
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat: Pastikan kebajikan rakyat jika laksana PKP penuh

SHAH ALAM, 19 MEI: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh di Selangor wajar dilaksana jika langkah itu dapat mengekang penularan Covid-19.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof bagaimanapun berkata kerajaan perlu memikirkan alternatif agar kebajikan rakyat tidak terabai dalam tempoh itu.

Edry Faizal Eddy Yusof

“Jika kerajaan umumkan PKP penuh, kita perlu terima. Tetapi perlu diingatkan kita tidak boleh laksana PKP sepenuhnya tetapi menutup sebelah mata berhubung kebajikan rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

ADN Sentosa Dr G Gunarajah turut berkongsi pendapat sama dan bersetuju perintah itu dilaksanakan seperti PKP 1.0 yang menutup semua sektor ekonomi dan mengehadkan pergerakan.

Dr Gunarajah R George

“Saya cadangkan laksana semula PKP seperti siri satu sebelum ini sekurang-kurangnya dua minggu atau sebulan. Nyawa rakyat perlu diutamakan, ekonomi boleh diusahakan untuk pulih selepas berakhirnya tempoh perintah,” katanya.

ADN Sekinchan Ng Suee Lim ketika ditemui pada protes aman bersama pesawah di Sekinchan pada 27 APRIL 2021. FOTO MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI

Bagaimanapun ADN Sekinchan mengakui berat hati untuk menerima pelaksanaan semula PKP penuh namun beliau reda jika langkah tersebut boleh mengurangkan kes.

“Walaupun berat hati menerima hakikat PKP semula di Selangor seperti PKP 1.0 yang akan memberi tamparan hebat kepada ekonomi, namun demi memerangi Covid-19 maka kita sebagai pemimpin dan rakyat perlu bekerjasama serta kekal patuhi SOP (tatacara operasi piawai),” katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan bercadang menguatkuasakan PKP penuh dan lebih ketat di Selangor jika usaha sedia ada gagal mengekang penularan wabak.


Pengarang :