Nur Farehan Nieza Osman, 28, menunjukkan watikah pelantikan pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang diterima ketika Jelajah Ramadan Kita Selangor daerah Sabak Bernam di Dewan Seri Sekinchan, Sabak Bernam pada 7 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wanita termuda dilantik ketuai pengurusan komuniti kampung

SABAK BERNAM, 8 MEI: Seorang wanita berumur 28 tahun menjadi individu termuda dilantik menerajui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Selangor.

Nur Farehan Nieza Osman menyifatkan pelantikan sebagai pengerusi MPKK Kampung Parit 16 Binjai Patah, Mukim Sungai Panjang satu pengiktirafan kepada belia wanita.

“Amanah diberikan amat berat terutama ketika mula-mula saya menyandang jawatan, sudah tentu penerimaan masyarakat berbelah bahagi.

“Namun selepas lapan bulan, masyarakat mula menyokong dan bersama-sama menjayakan program MPKK demi manfaat semua,” katanya selepas menerima watikah pelantikan di Dewan Seri Sekinchan semalam.

Borhan Aman Shah (tiga, kanan) menyerahkan watikah pelantikan pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kepada Nur Farehan Nieza Osman ketika Jelajah Ramadan Kita Selangor daerah Sabak Bernam di Dewan Seri Sekinchan, Sabak Bernam pada 7 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Seramai 79 individu termasuk enam wanita menerima watikah pelantikan pengerusi MPKK daerah Sabak Bernam yang disempurnakan EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah.

Bagi Pengerusi MPKK Kampung Parit 5/6 Gambut Mukim Panchang Bendena Mas Lina Husein, 40, jawatan itu memberi peluang kepadanya mendekati golongan ibu tunggal.

“Sebelum ini kebanyakan ibu tunggal kurang selesa untuk berinteraksi dengan lelaki, justeru usaha membantu mereka antara matlamat utama saya,” katanya.

Salasiah Sahak, 45, yang juga pengerusi MPKK Kampung Parot 16, Binjai Jaya, Mukim Sungai Panjang pula berharap lebih ramai wanita berpeluang menerajui pimpinan peringkat kampung.

“Pelantikan lebih ramai wanita seiring sasaran 30 peratus penglibatan golongan ini di peringkat kampung,” katanya yang dilantik sejak 2018.


Pengarang :