Petugas Klinik Selcare melakukan ujian calitan ke atas peserta program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Serbaguna Teluk Pulai, Klang pada 29 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Warga emas OKU hadir bertongkat jalani saringan Covid-19

KLANG, 30 MEI: Seorang warga emas tetap hadir menjalani saringan Covid-19 semalam biarpun terpaksa bertongkat akibat kebas kaki.

Roseman Johar, 70, yang kudung tangan kiri sejak 1986 ekoran kemalangan jalan raya menyertai program secara percuma di Dewan Serbaguna Teluk Pulai di sini kerana menyedari golongan sepertinya berisiko dijangkiti wabak.

Roseman Johar. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya tidak mengalami sebarang simptom tetapi secara sukarela buat pemeriksaan ini. Proses saringan berjalan pantas dengan melalui kaunter khas. Terima kasih Kerajaan Negeri menawarkan inisiatif yang meringankan beban rakyat,” kata pesara kerajaan dari Kampung Sungai Udang itu.

Beliau hadir bersama isteri dan seorang cucu selepas disyor oleh anak saudara yang berkhidmat sebagai doktor di sebuah hospital di ibu negara.

Sementara itu, Lau Boon Siong, 55, membawa tiga ahli keluarga membuat ujian calitan sebagai langkah waspada selepas isteri menerima notifikasi melalui aplikasi MySejahtera dan dikenal pasti mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19.

Lau Boon Siong. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kebetulan saya dimaklumkan mengenai program saringan ini dan terus mendaftar awal di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sejak Rabu lalu.

“Perjalanan ujian sangat efisien dan sistematik. Saya berharap ia diteruskan lagi pada masa depan,” katanya yang menetap di Taman Bayu Perdana.

Bagi saudara baharu, Muhammad Tamil Chelvan, 31, dia enggan mensia-siakan tawaran percuma itu memandangkan kos saringan di klinik swasta agak mahal.

“Harga saringan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) di luar mencecah RM150 dan saya tidak mampu bayar termasuk menanggung kos sama untuk isteri serta tiga anak,” katanya.


Pengarang :