Meski merindui keluarga dan suasana di desa, namun Mahadzir Hanafi lebih selesa menghabiskan masa tuanya di pusat jagaan orang tua di Rumah Seri Kenangan, Cheras
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Warga emas pilih rai Aidilfitri di Rumah Seri Kenangan

FOTO ASRI SAPFIE

Sudah enam tahun tahun Mahadzir Hanafi menyambut Aidilfitri di pusat jagaan orang tua di Rumah Seri Kenangan, Cheras sejak 2016.

Beliau yang memilih begitu. Walau ada 12 adik-beradik, beliau tidak mahu menyusahkan mereka. Ajakan untuk tinggal bersama ditolaknya baik-baik.

Demikian jua Siti Aishah Abdullah. Walau anak tunggalnya mempelawa tinggal sebumbung, beliau enggan apatah lagi anaknya itu bukan hidup senang.

Siti Aishah tidak mahu jadi beban kepada mereka. Lagipun, beliau seronok diam di pusat jagaan. Dapat belajar macam-macam. Segalanya terjaga.

Janggal

Mulanya Mahadzir berasa janggal duduk di situ. Berkongsi sebilik sampai enam orang, perlu ikut pelbagai peraturan dan wajib menyertai kegiatan pusat jagaan. Namun lama-kelamaan, beliau mula berasa seronok dan selesa.

Setiap hari mereka belajar agama, solat berjemaah dan bermacam-macam lagi kegiatan lain termasuk senaman beramai-ramai atau berehat membaca akhbar mahupun televisyen. Tidak lagi dibelenggu sunyi.

Mahadzir sendiri memilih masuk ke situ. Tidak lama beliau mengalami nahas motosikal pada 2014. Kakinya patah. Tiga puluh hari lamanya beliau terkedang di sebuah hospital di Kedah.

Mahadzir Hanafi melakukan pelbagai aktiviti sejak menetap di pusat jagaan orang tua di Rumah Seri Kenangan, Cheras pada 2016

Enam bulan lamanya beliau menunggu permohonan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk diterima menghuni pusat jagaan itu. Beliau sendiri mengurus segala dokumen.

Anak kelima dari 12 beradik berasal dari Alor Setar berkeras mahu tinggal di situ walau dipujuk adik-beradiknya yang mengajak tinggal bersama.

Namun, Mahadzir tetap merindui suasana raya di kampung. Ketupat palas, rendang ayam yang banyak dihidang pusat jagaan selalu mengundang nostalgia. Lebih-lebih lagi teringat ibu bapanya yang telah lama dipanggil Ilahi.

Tiap kali kedengaran lagu Dendang Perantau karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee, kerinduannya membuak-buak.

Namun, pesara pembantu perubatan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar Kedah tetap gembira menyambut Aidilfitri bersama 231 penghuni lain.

Hidupkan pelita malam raya, bakar lemang, anyam ketupat dan menghias antara kegiatan yang dilakukan bersama-sama di Rumah Seri Kenangan.

Meski diam di pusat jagaan, Mahadzir tidak pernah berasa dilupakan. Beberapa kali juga abang-abangnya menziarahinya.

“Kadang kala abang saya datang sini meraikan hari raya bersama. Dia tinggal di Kuala Lumpur. Bawa juadah raya dan ada masanya bawa saya tiga, empat hari duduk di rumah,” katanya kepada Selangorkini.

Berumur 68 tahun, beliau juga tidak pernah menyesal hidup membujang hingga usia renta meski hari-hari tuanya harus dihabiskan di pusat jagaan.

“Lupalah nak kahwin, lagipun dah tua, tiada orang hendak. Saya harap tinggal sahaja di sini sehingga meninggal dunia. Lagipun saya selesa duduk sini, ada ramai kawan,” katanya, sedikit berseloroh.

Tetap rindu

Siti Aishah, 73, mahu menghabiskan sisa hidupnya di situ. Berasal dari Ipoh, Perak, beliau tinggal di rumah jagaan tersebut sejak 10 tahun lalu selepas suaminya meninggal dunia pada 2009.

Anak tunggal lelakinya ada mengajak tinggal bersama tetapi beliau lebih menyenangi rumah jagaan tersebut.

“Suami sudah lama meninggal dunia, anak ada telefon ajak tinggal di rumahnya tetapi saya tolak.

“Anak kerja sebagai pengawal keselamatan, menantu suri rumah. Pendapatan mereka mungkin cukup-cukup makan sahaja.

“Lebih baik saya duduk sini, semua pun terjaga. Makan, minum enam kali sehari, ramai kawan, penjaga pun semuanya baik,” kata wanita keturunan India yang memeluk Islam sejak 1973.

Penghuni silih berganti. Ada meninggal dunia, ada yang diambil ahli keluarga. Namun, beliau tidak bosan dan tetap seronok bertemu dengan ramai orang berbeza hampir saban tahun.

Siti Aishah Abdullah memilih untuk berada di pusat jagaan orang tua meski anak tunggalnya mempelawa tinggal bersama

“Teman sebilik memang selalu bertukar ganti, tetapi saya tidak kisah sebab pada masa sama kita dapat kenal orang baharu, dapat kawan baharu,” katanya.

Sekalipun berjauhan dengan anak, Siti Aishah sentiasa berharap Hari Lebaran tetap meriah meskipun perayaan itu disambut bersama rakan-rakan seusia.

Kerinduan kepada anak tetap mekar. Bukan sekali dua bahkan berkali-kali tetapi keceriaan hidup bersama penghuni menangkis gelora perasaan tersebut.

“Setiap kali tibanya hari raya, perasaan rindu kepada Allahyarham suami dan anak mesti ada. Kadang kala anak ada telefon tanya khabar,” katanya yang tiga tahun tidak bersua wajah dengan anaknya.

Sedikit sebak, beliau berharap keputusannya tinggal di rumah jagaan tidak menyinggung perasaan anaknya.

“Tetapi di sini pun saya dan penghuni lain kami juga rai hari raya seperti satu keluarga,” katanya dengan riak tenang dan senyuman kemudiannya.


Pengarang :