Hujan lebat tidak menghalang orang ramai untuk hadir membuat saringan secara percuma di Dewan Dato’ Ahmad Razali, Ampang Jaya pada 18 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Warga emas sanggup berhujan tunggu giliran buat saringan

AMPANG, 18 MEI: Hujan lebat sejak tengah hari tidak menghalang sekumpulan warga emas untuk hadir membuat saringan Covid-19 di sekitar Bukit Antarabangsa dan Hulu Kelang.

Gazali Yaakub yang ditemui di Dewan Dato’ Ahmad Razali di sini berkata keselamatan diri dan keluarga lebih penting bagi memastikan mereka bebas dari jangkitan virus.

“Biar basah asalkan selamat. Ini kali kedua saya buat, kali pertama di hospital swasta namun bayarannya tinggi tetapi di sini pula percuma.

Gazali Yaakub

“Jadi dengan adanya program seperti ini saya minta mereka yang belum membuat saringan untuk melakukannya demi kebaikan semua,” kata pesara berusia 60-an itu ketika ditemui.

P Kanatay pula berpuas hati terhadap layanan petugas kesihatan Klinik Selcare untuk memastikan program berjalan lancar meski dalam suasana hujan lebat.

“Layanan terbaik, golongan warga emas diberi perhatian oleh petugas dengan proses saringan dari awal hingga selesai dijalankan dengan baik. Saya amat berpuas hati,” katanya yang juga dalam lingkungan usia sama.

Ah Yong

Ah Yong, 78, pula berkata program saringan seperti ini wajar dijadikan contoh kerana membantu golongan kurang berkemampuan untuk membuat ujian secara percuma.

“Bukan semua orang berduit jadi mereka perlu dibantu. Jika masing-masing mahu memastikan Covid-19 dapat dikurangkan maka bantulah golongan susah seperti yang dibuat Kerajaan Selangor,” katanya.

Sementara itu, di Dewan Serbaguna MPAJ di AU2, Sa’aya Yaakob berkata pendekatan Kerajaan Selangor dalam mengekang wabak wajar dipuji bagi memastikan Covid-19 dihapuskan.

“Ini adalah inisiatif yang baik tanpa mengira bangsa dan fahaman politik, justeru saya harap pendekatan ini dengan kerjasama orang ramai dapat mengurangkan kes dalam situasi krtikal ketika ini,” katanya.


Pengarang :