Seorang lelaki menunaikan solat Asar di luar perkarangan Masjid India ketika tinjauan pada 24 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Wilayah Persekutuan benarkan solat tarawih, Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Solat sunat tarawih dan Aidilfitri di seluruh Wilayah Persekutuan yang kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan berdasarkan kapasiti masjid dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter berkuat kuasa semalam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Mohd Ajib Ismail berkata kebenaran yang hanya dilaksanakan di kawasan kariah masing-masing itu turut membenarkan ibadah solat Jumaat, solat fardu dan aktiviti keagamaan.

Mohd Ajib berkata ketetapan baharu yang diumumkan Jawi itu diputuskan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras pengumuman terkini kerajaan berhubung perkembangan PKP.

“Aktiviti qiamullail dibenarkan 100 orang sahaja mulai jam 5 pagi dengan penjarakan fizikal 1.5 meter,” katanya dalam kenyataan semalam.

Berikut adalah antara ketetapan baharu berhubung ibadah solat dan aktiviti keagamaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan:

Kawasan PKP (Kuala Lumpur)

    • Tadarus al-Quran dan Majlis Khatam al-Quran secara bersemuka dibenarkan dengan kapasiti separuh dewan solat utama dengan penjarakan fizikal 1.5 meter
    • Takbir Hari Raya pada malam 1 Syawal dibenarkan dengan peserta tidak melebihi 20 orang dalam kalangan ahli jawatankuasa dan pegawai masjid hingga 10 malam
    • Jamuan selepas solat sunat Aidilfitri, Majlis Jamuan Hari Raya dan aktiviti ziarah kubur adalah tidak dibenarkan
    • Kuliah dan tazkirah secara bersemuka dibenarkan dengan kapasiti separuh dewan solat utama dengan penjarakan 1.5 meter

Kawasan PKPP (Putrajaya dan Labuan)

  • Tadarus al-Quran dibenarkan secara bersemuka dengan kapasiti separuh dewan solat utama manakala Majlis Khatam al-Quran dibenarkan mengikut kapasiti dewan solat utama dengan penjarakan fizikal 1.5 meter
  • Takbir Hari Raya pada malam 1 Syawal dibenarkan dengan jumlah peserta mengikut kapasiti dewan solat utama masjid, surau Jumaat dan surau dengan penjarakan 1.5 meter sehingga jam 10 malam
  • Jamuan selepas solat sunat Aidilfitri dibenarkan secara berbungkus manakala Majlis Jamuan Hari Raya tidak dibenarkan
  • Kuliah dan tazkirah secara bersemuka dibenarkan dengan separuh kapasiti masjid, surau Jumaat dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter
  • Aktiviti Ziarah Kubur dibenarkan dengan tidak melebihi enam orang bagi satu petak kubur dan tidak melebihi 30 minit

-BERNAMA


Pengarang :