Wisma MBSA di Seksyen 14, Shah Alam dilimpahi cahaya melambangkan warna bendera Palestin pada 18 Mei 2021. Foto Facebook Majlis Bandaraya Shah Alam
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Wisma MBSA pancar cahaya bendera Palestin tanda solidariti

SHAH ALAM, 20 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tidak ketinggalan bersama-sama rakyat Malaysia dan dunia amnya bagi menzahirkan tanda solidariti mereka terhadap rakyat Palestin yang ditindas dan dizalimi oleh rejim Zionis.

Limpahan cahaya empat warna iaitu merah, putih, hijau dan hitam yang melambangkan bendera Palestin di Bangunan Wisma MBSA, Seksyen 14 dipasang dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam sejak Isnin (17 Mei).

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA Shahrin Ahmad berkata pihaknya berharap dengan pemasangan lampu tersebut dapat meningkatkan kesedaran kepada rakyat Malaysia, khususnya warga Shah Alam berhubung isu yang berlaku kepada rakyat Palestin.

Shahrin berkata buat masa sekarang lampu tersebut akan terus dipasang untuk memberi kesedaran kepada rakyat mengenai kemusnahan yang dilakukan oleh tentera Israel terhadap penduduk Palestin.

“Kita doakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin serta berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya ketika dihubungi Bernama.

– BERNAMA


Pengarang :