Proses pembuatan keris, satu kemahiran yang semakin pupus. Foto Facebook Yayasan Raja Muda Selangor – YRMS
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

YRMS anjur program perkasa warisan pembuatan keris

Oleh Azlee Nor Mahmud

SHAH ALAM, 10 MEI: Keris bukan sahaja antara senjata warisan nenek moyang orang Melayu yang mempunyai nilai estetik tersendiri tetapi juga salah satu alat lambang kebesaran Kesultanan Melayu di negara ini.

Malangnya, seni kemahiran membuat keris ini khususnya di Selangor, didapati hampir pupus kerana semakin berkurangan penduduk negeri ini yang mewarisi bakat pembuatan senjata tradisional itu.

Menyedari kepentingan warisan ini dipelihara supaya tidak terus tenggelam di telan zaman, Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) mengorak langkah menganjurkan program Talent For The World dengan menaja program pembelajaran pembuatan keris, yang dibuka kepada golongan belia yang berminat dari seluruh Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YRMS Nurul Azwa Rodzi, program perintis itu bermula pada tahun 2019 dengan tiga orang peserta yang dipilih menerusi saringan ketat.

Ketiga-tiga orang peserta berkenaan dibimbing oleh lima orang guru iaitu dua orang guru dari Kuala Terengganu dengan kerjasama Yayasan DiRaja Sultan Mizan untuk selama setahun (2019) dan tiga orang guru dari Kuantan, Pahang selama dua tahun (2020 dan 2021).

Tiga pelajar Talent for The World mendapat didikan seni pertukangan pembuatan keris daripada Encik Mazli/Pokli. Foto Facebook Yayasan Raja Muda Selangor – YRMS

Program yang bermula pada bulan Mei 2019 dan dijadualkan berakhir pada April 2020 terpaksa dijadualkan semula akibat penularan wabak Covid-19. Ia kini dijangka selesai pada penghujung 2021.

Talent For The World

“Mengikut kajian dan pengamatan YRMS di seluruh Selangor kini sudah tiada lagi tukang pembuat keris, berbeza dengan negeri lain yang masih mempunyai guru atau mereka yang berkemahiran untuk membuat keris.

“Hasrat kita melalui program ini adalah agar generasi muda dapat menimba ilmu kemahiran membuat keris dan meneruskan legasi pembuatan senjata itu di Malaysia dan negeri ini khususnya,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Nurul Azwa berkata, peserta program berkenaan juga dibimbing dalam bidang keusahawanan bagi mengkomersialkan kemahiran serta produk yang mereka hasilkan.

Beliau menambah, sebuah majlis graduasi bagi program itu dijadual diadakan pada hujung tahun 2021, bersempena dengan Pameran Eksklusif Koleksi Keris DiRaja Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan kerjasama Muzium Kesenian Islam.

Minat pada pembuatan keris

Bernama baru-baru ini berkesempatan menghubungi dua orang pelajar daripada tiga orang pelajar yang terpilih untuk mengikuti program tersebut yang kini sedang menjalani program pembelajaran di Kuantan, Pahang.

Antara koleksi keris. Foto Facebook Yayasan Raja Muda Selangor -YRMS

Salah seorang pelajar, Muzaffar Mohd Zafri, 31, yang berasal dari Kuantan, Pahang berkata, minatnya untuk mempelajari seni pembuatan keris timbul selepas beliau mendalami ilmu pembuatan tengkolok.

“Saya mula berminat minat untuk mendalami ilmu pembuatan keris dan warisan Melayu lain selepas berpeluang melawat sebuah muzium di Denmark yang mempamerkan sudut pahlawan Melayu ketika program pertukaran pelajar di sana,” katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Senibina Landskap dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Muzaffar mengakui bahawa seni pembuatan keris tidak semudah seperti yang disangka kerana tahap pembuatan sebuah keris asas untuk pelajar seperti beliau sahaja biasanya memakan masa selama seminggu.

Beliau berharap selepas tamat mengikuti program itu, ilmu yang diperolehinya dapat diturunkan kepada generasi yang akan datang.

“Jika YRMS tidak ambil inisiatif untuk buat program seperti ini mungkin kita akan hilang pelapis pembuat keris di negara kita,” katanya yang pernah bekerja sebagai arkitek landskap dan kini menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pembuatan keris di kampung halamannya, setelah kehilangan pekerjaan.

Muzaffar merancang membuat perusahaan keris secara kecil-kecilan dahulu selepas tamat belajar nanti.

“Insya-Allah saya akan berusaha untuk meneruskan bisnes ini ke peringkat lebih tinggi, seperti menjalin kerjasama dengan Tourism Malaysia.

Keris mampu cecah ribuan ringgit

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Abdul Hakim Zulkifli, 28, berkata harga keris di pasaran ketika ini adalah serendah RM100 dan boleh mencapai ribuan ringgit bergantung kepada corak dan bahan yang digunakan.

“Terdapat bilah (keris) yang diperbuat daripada meteor dan tulang mawas, harganya betul-betul tinggi dan hasilnya nampak berbeza berbanding dengan besi lain,” katanya yang sememangnya berminat terhadap seni pembuatan keris.

“Saya mahu mempelajari ilmu ini dengan lebih mendalam terutamanya tentang bagaimana ia dibuat dan fungsi-fungsinya,” kata pemuda berasal dari Kuala Terengganu dan berkulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Rekabentuk Industri dari UPM.

Orang muda mula minat pada keris

Dalam pada itu, salah seorang mentor, Mayazi Abu Bakar yang mesra di panggil Cikgu Mayazi, 54, berkata, saringan ketat yang dibuat YRMS bagi pemilihan pelajar program pembuatan keris itu bertepatan kerana fokus dapat diberikan kepada mereka yang benar-benar berminat.

Mengenai sambutan seni pembuatan keris, Mayazi berkata, beliau kerap menerima pelawaan untuk mengajar ilmu tersebut daripada pelbagai pihak dari serata Malaysia.

“Di sini sampai ke tahap tidak larat untuk mengajar kerana mempunyai kekangan seperti bengkel yang kecil serta tidak mempunyai ruang yang cukup.

“Minat terhadap pembuatan keris sedang meningkat terutamanya dalam kalangan orang muda cuma penukangnya sudah tidak ramai, tinggal yang berpengalaman sahaja,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :