Tiga sahabat (dari kiri) Nurul Izzah Latiffi, Faranafisha Ahmad Jani dan Aida Imannurshafiqah Abdullah berhari raya di sekitar rumah mereka pada 24 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Ziarah raya dilarang, PKP di seluruh negara mulai 12 Mei

SHAH ALAM, 10 MEI: Putrajaya memutuskan untuk melarang ziarah rumah ke rumah ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri susulan trend kes harian Covid-19 yang semakin meningkat.

Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat selepas sidang khas Majlis Keselamatan Negara hari ini yang bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara.

“Tarikh kuat kuasa larangan tersebut dan arahan lain bermula pada 12 Mei hingga 7 Jun.

“Sepanjang tempoh ini, semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan hari ini.

Arahan dan larangan ketika PKP:

1. Melarang rentas daerah dan negeri kecuali tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh.

2. Melarang semua bentuk perhimpunan sosial termasuk kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis doa selamat dan tahlil, majlis makan malam, majlis sambutan hari jadi serta majlis-majlis rasmi kerajaan dan swasta. Sebarang bentuk seminar, persidangan dan mesyuarat secara bersemuka adalah tidak dibenarkan. Majlis akad nikah adalah dibenarkan dengan jumlah kehadiran dan SOP yang ditentukan pihak berkuasa agama Islam negeri bagi orang Islam dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi orang bukan Islam.

3. Melarang semua aktiviti sukan dan rekreasi kecuali sukan dan rekreasi individu di kawasan terbuka seperti jogging, berbasikal dan senaman dengan mengamalkan penjarakan fizikal.

4. Semua institusi pendidikan ditutup. Pengecualian diberikan kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan antarabangsa. Pusat asuhan kanak-kanak, tabika, taska dan tadika dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan bagi membantu urusan kerja ibu bapa atau penjaga.

5. Bilangan orang dalam kenderaan persendirian, teksi dan e-panggilan dihadkan kepada tiga orang sahaja termasuk pemandu. Bilangan orang yang dibenarkan dalam kenderaan membawa barangan serta rantaian aktiviti ekonomi/industri adalah bergantung kepada jumlah yang dibenarkan dalam lesen pendaftaran kenderaan perdagangan. Bilangan orang yang dibenarkan di dalam pengangkutan awam mestilah mematuhi penjarakan fizikal dan mematuhi SOP yang ditetapkan.

6. Makan di restoran dan kedai makan tidak dibenarkan. Penjualan makanan secara pandu lalu dan take-away adalah dibenarkan.

7. Majikan diwajibkan melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) dengan kehadiran tidak lebih 30 peratus kakitangan pengurusan pada setiap masa. BDR sektor awam ditentukan oleh garis panduan yang dikeluarkan ketua setiausaha negara dari semasa ke semasa.

8. Solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah dan 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah. Had bilangan jemaah yang sama terpakai bagi solat fardu lima waktu dan solat Jumaat.

9. Operasi rumah ibadah bukan Islam juga akan diperketatkan. SOP bagi rumah ibadah bukan Islam ditetapkan Kementerian Perpaduan

10. Langkah-langkah khusus yang sedang dilaksanakan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan diteruskan.


Pengarang :