Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Orang Ramai Sungai Gulang-Gulang, Kuala Selangor pada 5 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

1,000 individu dijangka terlibat Saringan Komuniti DUN Permatang, Sungai Burong

KUALA SELANGOR, 5 JUN: Kira-kira 1,000 individu dijangka menyertai Saringan Komuniti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang dan Sungai Burong hari ini.

Pengurus Klinik Selcare berkata berdasarkan rekod, lebih 500 individu membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) untuk program percuma di Dewan Orang Ramai Sungai Gulang-Gulang dan Dewan Dato’ Hormat.

Mohd Noor Md Nasir menjelaskan jumlah itu lebih rendah berbanding DUN lain mengambil kira taburan penduduk di pinggir bandar yang tidak ramai selain cuaca hujan dari awal pagi menjejaskan kehadiran masyarakat setempat.

“Seawal jam 8 pagi, kebanyakan peserta khususnya warga emas datang ke program dengan berdaftar terus di kaunter. Justeru, kita harap dapat saring kumpulan sasaran iaitu golongan berisiko di sini.

Pengurus Klinik Selcare, Mohd Noor Md Nasir bercakap kepada media ketika program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Orang Ramai Sungai Gulang-Gulang, Kuala Selangor pada 5 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Bagaimanapun, kita berharap lebih ramai hadir selepas tengahari dan menggalakkan mereka mendaftar melalui SELangkah supaya mudah untuk rujuk keputusan saringan,” katanya ketika ditemui.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN sejak 8 Mei hingga 10 Jun.

Program memanfaatkan rakyat yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan diri selesai dijalankan di 44 DUN sehingga semalam.

Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) membolehkan pengesanan jangkitan dalam tempoh kurang 30 minit.


Pengarang :