Pekerja kilang Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di Taman Keramat, Ampang pada 19 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

1,000 pekerja kilang Texas Instruments telah divaksin

AMPANG, 19 JUN: Seramai 1,000 pekerja Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd (Texas Instruments) telah menerima vaksin Covid-19 sejak 16 Jun lalu.

Pengarah urusannya berkata mereka adalah kumpulan pertama dalam sektor perkilangan dan sebahagian daripada 2,371 petugas yang didaftarkan untuk tujuan tersebut sehingga 23 Jun ini.

Yogannaidu Sivanchalam berkata pihaknya bekerjasama dengan pihak berwajib sejak April lalu dengan beberapa siri lawatan diadakan sebelum ia dilaksana pada Rabu lalu.

“Program bagi dos pertama berjalan selama lapan hari sehingga 23 Jun dan selepas tiga minggu pemberian dos kedua bermula iaitu mungkin pada 7 Julai ini.

“Walaupun mereka divaksin, protokol tidak akan dilonggar kerana risiko masih ada dengan SOP (tatacara operasi piawai) sebelum ini tetap diteruskan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Yogannaidu Sivanchalam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Mengenai sebuah kilang lagi di Melaka, Yogannaidu berkata pihaknya sudah membuat permohonan serta menunggu maklum balas Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Kita sedang tunggu kelulusan kerana ia berperingkat dan sekiranya mempunyai vaksin, kita berharap dapat menyuntik kesemua pekerja secepat mungkin,” katanya.

Dalam kenyataan bersama pada 15 Jun, Kerajaan Negeri dan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) sepakat memberi tumpuan memberi vaksin kepada pekerja industri dan golongan rentan termasuk warga emas serta orang kelainan upaya (OKU).


Pengarang :