Petugas kesihatan menguruskan jenazah yang meninggal akibat wabak Covid-19 ketika tinjauan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam pada 9 Jun 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

18 kes tiada penyakit antara 72 korban Covid-19

SHAH ALAM, 19 JUN: Sebanyak 18 daripada 72 kes kematian direkodkan akibat Covid-19 di seluruh negara hari ini tiada sejarah penyakit, maklum ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata semua mangsa terbabit berusia dalam lingkungan 29 hingga 72 tahun dengan lima daripadanya bukan warga tempatan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan majoriti kes kematian membabitkan individu berusia 40 tahun ke atas yang ada penyakit tertentu antaranya kencing manis, darah tinggi, buah pinggang, strok, jantung dan dislipidemia.

Sementara itu, sebanyak 23 kes tersebut dilaporkan di Selangor, Kuala Lumpur (15), Negeri Sembilan (tujuh) dan Pahang (enam).

Manakala, Johor dan Sarawak masing-masing merekodkan lima kes maut, Labuan (tiga), Kelantan dan Pulau Pinang (masing-masing dua) serta Sabah, Perak, Melaka dan Kedah (masing-masing satu).

Keseluruhannya, seramai 4,348 individu maut di seluruh negara ekoran wabak yang melanda sejak lebih setahun.


Pengarang :