Orang ramai menerima suntikan dos pertama vaksin AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada 25 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

19 universiti awam, hospital pengajar dikenal pasti sebagai pusat vaksin

PUTRAJAYA, 1 JUN: Sebanyak 19 Universiti Awam (UA) dan Hospital Pengajar Universiti (HPU) telah dikenal pasti untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah membentangkan cadangan mewujudkan PPV IPT dalam Sidang Khas Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) pada 31 Mei lepas bagi membantu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dalam menyediakan akses yang lebih banyak kepada rakyat untuk divaksin.

Menurutnya dalam kenyataan hari ini, pasukan khas KPT yang diketuai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Husaini Omar telah mengenal pasti 19 PPV IPT yang berkemampuan memberi 14,400 vaksin sehari atau 432,000 vaksin sebulan.

Antara UA dan HPU terlibat ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM); Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM); Universiti Malaysia Kelantan (UMK); Universiti Utara Malaysia (UUM); Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan UiTM Puncak Alam pula dikenal pasti sebagai PPV mega.

“Model PPV IPT ini mengguna pakai model PPV di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang akan melibatkan UA, HPU, Pusat Kesihatan Universiti (PKU) serta Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan sebagai tonggak kepada setiap PPV IPT,” kata Noraini.

Noraini berkata KPT komited untuk menggerakkan semua tenaga kerja kesihatan UA yang terdiri daripada Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian, Pegawai Farmasi, Pensyarah Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan dan Jururawat untuk terlibat dalam PPV IPT.

– BERNAMA


Pengarang :