Petugas Kesihatan Selcare memasukkan data sampel untuk dianalisis ketika Saringan Komuniti Covid-19 di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 9 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

21 varian Delta dikesan, paling banyak di Labuan dan Kuala Lumpur

SHAH ALAM, 23 JUN: Sebanyak 21 kes varian membimbangkan (VOC) virus Covid-19 dikesan di seluruh negara sehingga 19 Jun lalu.

Varian lebih berbahaya Delta (B.1.617.2), yang dikesan di India, banyak direkodkan di Labuan dengan enam kes dan Kuala Lumpur (empat).

Menurut Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Johor pula merekodkan tiga kes; manakala Selangor, Negeri Sembilan dan Purajaya masing-masing dua.

Pulau Pinang dan Perlis pula masing-masing merekodkan satu kes varian Delta, dilaporkan 60 peratus lebih cepat merebak dan lebih mudah membawa kematian.

Sementara itu, KKM juga memaklumkan sebanyak 137 kes varian Beta (B.1.351), yang dikesan di Afrika Selatan, juga dilaporkan dalam tempoh sama.

Varian Alpha (B.1.1.7), yang dikesan di United Kingdom, merekodkan sembilan kes sahaja di seluruh negara.

Jumlah terkumpul VOC dan varian yang perlu diwaspada (VOI) setakat 19 Jun lalu adalah 183 kes.

Pecahan jangkitan VOI seperti berikut: varian Theta (P.3), semuanya 12 kes di Sarawak, Eta (B.1.525) tiga kes dan Kappa (B.1.617.1) satu.

Theta, Eta dan Kappa masing-masing pertama kali dikesan di Filipina, Nigeria dan India.


Pengarang :