Imbasan berwarna mikrograf elektron sel apoptosis (coklat kehijauan) yang dijangkiti Covid-19 (merah jambu) yang diasingkan dari sampel ujian pesakit di Maryland, Amerika Syarikat. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

23 kes varian baharu membimbangkan, lapan di Selangor

SHAH ALAM, 10 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 23 kes varian baharu virus Covid-19 dalam tempoh 3 hingga 8 Jun lalu yang kesemuanya membabitkan varian membimbangkan (VOC).

Ketua pengarah kesihatan berkata 19 daripada jumlah itu membabitkan penularan varian Beta (B.1.351), lapan di Selangor, Putrajaya (tiga), Kuala Lumpur, Melaka serta Kedah (masing-masing dua) manakala di Perak dan Perlis (masing-masing satu).

Jelasnya, penularan empat kes varian Delta (B.1.617.2) pula dikesan di Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu masing-masing dua kes.

“Secara keseluruhan, terdapat 161 kes positif Covid-19 membabitkan 145 VOC iaitu B.1.351 (123), B.1.617.2 (13) dan Alpha (B.1.1.7) (sembilan).

“Manakala 16 varian mempunyai kepentingan (VOI) dengan Theta (P.3) (12), Eta (B.1.525) (tiga) serta Kappa (B.1.617.1) (satu) sehingga semalam,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook.

Beliau berkata KKM akan melakukan pengawasan genomik, meningkatkan saringan, pengesanan kontak dan pengasingan kes serta langkah kesihatan bagi membendung penularan varian dalam komuniti.

“Masyarakat dinasihatkan segera tampil mendaftarkan diri dan ahli keluarga bagi mendapatkan vaksin dalam usaha membantu membentuk imuniti kelompok.

“Ini juga salah satu langkah mengekang kesan buruk penularan varian dalam kalangan komuniti,” katanya.


Pengarang :