Pekerja KDEB Waste Management (KDEBWM) bergambar selepas menerima suntikan dos pertama vaksin di bawah Program Vaksinasi Covid-19 Selangor di pusat pemberian vaksin (PPV), Evo Mall, Bangi, semalam. Foto KDEB Waste Management (KDEBWM)
AGENSISELANGOR

300 kakitangan KDEBWM terima dos pertama vaksin

SHAH ALAM, 28 JUN: Seramai 300 pekerja KDEB Waste Management (KDEBWM) dan anak syarikatnya, Hebat Abadi Sdn Bhd menerima suntikan dos pertama vaksin di bawah Program Vaksinasi Covid-19 Selangor di pusat pemberian vaksin (PPV), Evo Mall, Bangi, semalam.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata beliau melaksanakan inisiatif itu selepas mengambil kira kakitangannya antara golongan berisiko kerana kerap bekerja di luar.

“Mereka ini rata-ratanya terdedah 365 hari di luar melakukan pemantauan dan kutipan sampah di kawasan industri, pasar, komersial, perumahan termasuk hospital.

“Justeru, saya tidak mahu mengambil risiko, kita perlu lindungi mereka dan hari ini (semalam) kita bawa hampir 85 peratus kakitangan kita untuk divaksin,” katanya ketika ditemui PPV, Evo Mall, Bangi, semalam.

Pada masa sama, Ramli turut mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari kerana menyediakan inisiatif seumpama itu yang sedikit sebanyak membantu mempercepatkan matlamat imuniti kelompok.

Beliau turut menyarankan semua majikan di syarikat swasta atau sektor industri untuk bawa pekerja mereka divaksin agar semua dilindungi.

“Saya sarankan semua syarikat mengambil inisiatif ini, mungkin tidak dapat lindungi 100% daripada dijangkiti wabak tetapi sekurang-kurangnya ada usaha untuk bawa kakitangan divaksin.

“Namun, pada masa sama meskipun kita telah selesai kedua-dua dos suntikan vaksin, SOP (tatacara operasi piawai) tetap perlu dijaga,” katanya.


Pengarang :