Usahawan bawah bimbingan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menerima sijil penghargaan. Foto Arkib Selangorkini
AGENDANASIONAL

40,000 usahawan Hijrah dapat moratorium pinjaman satu setengah bulan

SHAH ALAM, 9 JUN: Seramai 40,000 usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) diberikan moratorium bayaran pinjaman selama satu setengah bulan.

Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri memahami kesukaran golongan itu akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejaskan perniagaan dan gangguan aliran tunai.

“Inisiatif ini bakal memberi impak kewangan berjumlah RM11.35 juta,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 hari ini.

Terdahulu, beliau membentangkan pakej bernilai RM551.56 juta bagi membantu golongan yang terkesan dengan PKP.

Bertemakan Bersama Menuju Kejayaan, pelan itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga akan menyediakan pembiayaan kepada individu ingin memulakan perniagaan tetapi mempunyai masalah dari segi modal awalan dan pusingan.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri melalui Hijrah memperuntukkan RM80 juta bagi membantu 8,000 usahawan dengan modal awalan bagi memulakan perniagaan.

“Program ini dikhususkan buat mereka yang hilang pekerjaan dan kekurangan pendapatan akibat dari pelaksanaan PKP,” katanya.


Pengarang :