Bilangan pesakit Covid-19 dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi semakin bertambah setiap hari di Hospital Sungai Buloh. Foto Facebook Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

66 peratus pesakit kategori 4, 5 alami sindrom Covid-19 berpanjangan

SHAH ALAM, 11 JUN: Sebanyak 66 peratus pesakit Covid-19 kategori empat dan lima mengalami gejala jangkitan lebih panjang, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata lima simptom kerap dialami bekas pesakit adalah kelesuan, kesukaran bernafas apabila melakukan aktiviti, sukar tidur malam, batuk dan kegelisahan.

“Menurut kajian klinikal yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) membabitkan 1,004 pesakit dari kategori empat dan lima yang menerima rawatan susulan, 66 peratus daripada mereka mengalami sindrom Covid-19 berpanjangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham menjelaskan data menunjukkan majoriti pesakit Covid-19 di negara ini mampu sembuh sepenuhnya namun terdapat segelintir terkesan dengan sindrom itu.

Katanya, sehingga kini rawatan ditawarkan berdasarkan simptom dipamerkan pesakit dan fungsi tubuh yang terbabit dan dirujuk kepada bidang kepakaran bagi memastikan mendapat rawatan klinikal optimum.

“KKM akan terus menjalankan kajian klinikal bagi memahami dan mengenal pasti kesan sindrom ini dan maklumat mengenainya akan dimaklumkan kepada masyarakat dari semasa ke semasa.

“Sindrom Covid-19 berpanjangan membabitkan suatu keadaan apabila bekas pesakit masih menunjukkan gejala bagi tempoh 12 minggu atau lebih susulan berpunca daripada komplikasi jangkitan terhadap fungsi pelbagai organ dalam tubuh seseorang individu,” katanya.

 

 


Pengarang :