Petugas kesihatan meletakkan sampel calitan dalam tiub pada program Saringan Komuniti Covid-19 di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 9 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

84 individu termasuk lelaki 27 tahun maut akibat Covid-19

SHAH ALAM, 11 JUN: Lelaki berusia 27 tahun antara 84 kematian direkod di seluruh negara hari ini akibat jangkitan Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Bagaimanapun, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tidak memaklumkan sama ada individu yang meninggal dunia di Hospital Labuan, Sabah itu mengalami sebarang penyakit.

Kenyataan sama menjelaskan seorang wanita bukan warganegara berusia 28 tahun yang tiada berpenyakit turut maut dan jenazah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya.

“Dua lelaki warganegara berusia 38 dan 39 tahun yang ada masalah obesiti meninggal di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan Hospital Sungai Buloh.

“Namun, majoriti kes kematian membabitkan individu berusia 40 tahun ke atas yang ada penyakit tertentu antaranya kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan jantung,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 19 kes tersebut dicatatkan di Selangor, Sarawak (12), Negeri Sembilan (sembilan) dan Labuan (lapan).

Manakala Kuala Lumpur dan Johor pula masing-masing merekodkan tujuh kes, Pahang dan Sabah (masing-masing enam), Terengganu (tiga), Melaka (dua) selain Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Perlis serta Kedah (masing-masing satu).

Keseluruhannya, sebanyak 3,768 individu maut di seluruh negara akibat wabak yang melanda sejak lebih setahun.


Pengarang :