Selangorkini
Jamaliah Jamaluddin (kanan) bersama Team Bandar Utama melakukan kunjungan dari rumah ke rumah untuk menghulurkan bantuan makanan dan kit kesihatan kepada pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah pada 25 Mei 2021. Foto Facebook Jamaliah Jamaluddin
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Bandar Utama beri sokongan moral, makanan buat pesakit kuarantin

SHAH ALAM, 24 JUN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama sentiasa mengambil inisiatif menghulur bantuan dan sokongan buat penduduk yang dijangkiti Covid-19.

Dalam 24 jam selepas pengesahan status kesihatan selepas menjalani saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri, Jamaliah Jamaluddin menghubungi pesakit atas dasar prihatin dan tanggungjawab selaku wakil rakyat.

“Semasa perbualan, ada antara mereka menangis meluahkan rasa rindu kepada keluarga, ada yang takut kehilangan pendapatan selepas disahkan positif.

“Perasaan bingung, takut dan gelisah ini sesuatu yang tidak akan lari daripada mereka yang disahkan positif Covid-19. Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul,” katanya.

Jamaliah kemudian bersama Team Bandar Utama melakukan kunjungan dari rumah ke rumah untuk menghulur bantuan.

Antara diberi ialah makanan asas, kit penilaian kuarantin di rumah yang mengandungi vitamin, oximeter iaitu pengukur kandungan oksigen dalam badan.

Tidak dilupakan untuk anak-anak mereka ialah permainan Monopoli dan alat tulis supaya mereka tidak bosan sepanjang tempoh kuarantin.

“Anak-anak ini emosinya harus dijaga kerana mereka kurang mengerti keperluan terkurung bagi menghadapi masalah global ini,” katanya lagi.

Walau tidak dapat bertentang mata dengan pesakit, Jamaliah berharap bantuan berkenaan dapat meringankan beban keluarga mereka.

Malah, beliau sentiasa bersama-sama penduduk, bukan sahaja untuk memberi bantuan makanan bahkan sokongan emosi dalam mendepani wabak.

Jamaliah juga meminta masyarakat membuang stigma buruk terhadap pesakit, sebaliknya memberi sokongan moral jika tidak dapat membantu dari segi kewangan.

“Orang ramai perlu tahu bahawa kesedaran untuk saling menyokong emosi dan memberikan rasa prihatin amat diperlukan dalam menghadapi Covid-19,” katanya


Pengarang :