Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Agong titah ‘secepat mungkin’ adakan sidang Parlimen

SHAH ALAM, 16 JUN: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menitahkan Dewan Rakyat harus bersidang “secepat mungkin” selepas mempengerusi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu.

“(Sidang) ini untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat,” menurut kenyataan Istana Negara yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja hari ini.

Menurut Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin lagi, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah amat menyedari peranan Parlimen untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan Covid-19.

“Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat yang dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara,” katanya.

Seri Paduka Baginda turut bertitah agar angka jangkitan wabak dilandaikan segera dengan program vaksin sebagai “satu-satunya jalan keluar” daripada Covid-19.

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa kerajaan perlu bertindakan tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus dapat dicapai seawal mungkin,” kata Ahmad Fadil lagi.

Seri Paduka Baginda juga menzahirkan pandangan bahawa perlunya kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan berkesan dalam menangani wabak dan memulihkan ekonomi.

Perbincangan khas petang tadi yang dihadiri Raja-Raja Melayu bagi meneliti pandangan pemimpin parti politik ketika sesi menghadap Seri Paduka Baginda sejak minggu lepas.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.


Pengarang :