Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara Senator Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun pada 29 Jun 2021. Foto Istana Negara
AGENDANASIONAL

Agong zahir penghargaan Parlimen sedia bersidang ‘secepat mungkin’

SHAH ALAM, 29 JUN: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menzahirkan penghargaan atas kesediaan Parlimen untuk bersidang “secepat mungkin” seperti titah baginda dua minggu lalu.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan persidangan itu perlu disegerakan bagi membahaskan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan berkata baginda mengambil ketetapan itu setelah mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara hari ini.

“Susulan sesi menghadap ini dan lanjutan daripada sesi Perbincangan Khas Raja-raja Melayu yang berlangsung pada 16 Jun lalu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin mengikut garis panduan dan tatacara operasi piawai Covid-19 yang ditetapkan kerajaan dan Parlimen.

“Ini bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang dikeluarkan dapat dibentangkan di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Ahmad Fadil berkata baginda juga menzahirkan pandangan semua Jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 hendaklah meneruskan sesi mesyuaratnya untuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya menangani isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

“Perlu diperjelaskan juga bahawa pandangan dan seruan yang dinyatakan ini merupakan pendirian Seri Paduka Baginda dan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Raja Berperlembagaan berdasarkan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undangnya,” katanya.


Pengarang :