Ubi antara produk dijual menerusi Program Agro Prihatin Selangor. Foto Facebook Jabatan Pertanian Negeri Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Agro Prihatin Selangor di 10 premis, jual hasil tani lebih murah

SHAH ALAM, 15 JUN: Program Agro Prihatin Selangor akan menjual hasil ladang di 10 premis bagi mengatasi masalah lambakan pertanian.

Premis berkenaan ialah Wisma PKPS, Seksyen 14; Wisma Sidah, Seksyen 7; Holysmike Cafe, Seksyen 13; Taman Meru Jaya, Meru dan Selangor Fruit Valley, Rawang.

Lima premis lagi membabitkan pusat operasi Agropreneur Selangor (Agrosel) Bangi, Kota Raja, Pandan Indah dan pusat operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Puchong dan Dengkil.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerusi poster memaklumkan hasil tani dijual adalah pisang tanduk, pisang berangan, pisang toman, ubi kayu, tomato, cili bara dan cili Thailand.

Rabu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM1.5 juta diperuntuk bagi melaksanakan Program Agro Prihatin dengan membeli lambakan hasil tani dan menjual semula 50 peratus lebih murah berbanding harga pasaran di lokasi terpilih.

Program terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 membabitkan nilai keseluruhan RM551.56 juta itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.


Pengarang :