Petugas Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor ketika melakukan semakan, mengukur dan memperbetulkan arah kiblat dari rumah ke rumah. Foto Facebook Syafiq Hairom
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Ahli falak Selangor bantu lebih 10,000 rumah tentukan arah kiblat

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Umat Islam di negara ini pada Jumaat lepas berpeluang menyemak sendiri arah kiblat ketika fenomena Istiwa’ A’zam, iaitu ketika kedudukan matahari berada tepat di atas Kaabah di Masjidil Haram, Makkah, Arab Saudi, pada 5.16 petang.

Penentuan arah kiblat yang betul, boleh dibuat berdasarkan pantulan cahaya matahari pada kayu yang ditegakkan di kediaman masing-masing.

Selain kaedah itu, sebelum ini kebanyakan umat Islam bergantung kepada aplikasi tertentu dalam telefon pintar dan kompas untuk menentukan arah kiblat, namun persoalannya sejauh manakah ketepatan metode yang digunakan itu.

Harus diingat walaupun jarak yang terpesong hanya satu darjah, namun sebenarnya ia bersamaan dengan jarak sejauh 122 kilometer dari arah kiblat sekali gus menyebabkan ia jauh tersasar dari arah yang sebenar.

Menyedari hakikat itu, Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor (PAFNS) mengambil inisiatif sejak lima tahun lepas menyediakan perkhidmatan menyemak, mengukur dan memperbetulkan arah kiblat dari rumah ke rumah.

Walaupun jarak yang terpesong hanya satu darjah, namun sebenarnya ia bersamaan dengan jarak sejauh 122 kilometer dari arah kiblat. Foto Facebook Ara Sara

Setiausahanya, Abdul Latip Ibrahim berkata penggunaan kompas atau aplikasi bagi menentukan arah kiblat di rumah kadangkala menghasilkan bacaan yang berubah-ubah berikutan kesan tarikan magnetik seperti perkakasan besi dan logam di rumah.

“Ada kemungkinannya betul (arah kiblat) tetapi kebanyakannya disebabkan kesan magnetik, ada yang tersasar dari arah kiblat yang sebenar, kerana itu kita menggunakan kaedah data matahari iaitu cahaya dan bayang yang masuk ke dalam rumah.

“Dari situ kita akan membuat perkiraan dilakukan dengan menggunakan perisian Easy Qibla dan Sun Compass membolehkan bacaan tertentu diambil sebelum kita menentukan arah kiblat di rumah yang berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Antara peralatan lain yang turut digunakan sepanjang kaedah tersebut yang mengambil masa kira-kira setengah jam ialah laser, TongBa (Tongkat Bayang), kertas, pen, pembaris, tali, pelapik plastik atau kayu.

Abdul Latip berkata sekiranya rumah tersebut tidak dimasuki cahaya seperti di pangsapuri, petugas arah kiblat akan mencari sumber cahaya yang paling terdekat dengan kediaman tersebut.

“Dengan kaedah ini, arah kiblat adalah tepat, kekal dan tidak lagi berubah-berubah yang membantu kita untuk menunaikan kewajipan solat dengan lebih yakin,” katanya yang memaklumkan persatuan itu mempunyai 70 petugas mahir dan terlatih dalam bidang itu.

Sehingga kini, persatuan itu memberikan perkhidmatan berkenaan di lebih 10,000 rumah persendirian di seluruh Selangor dan mereka yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut boleh menghubungi mereka menerusi Facebook rasmi PAFNS.

Salah seorang Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor (PAFNS) menentukan arah kiblat rumah di negeri ini. Foto Facebook Hanzalah Mizi

Bagaimanapun, menurut Facebook persatuan itu, buat masa ini pergerakan petugas untuk proses pengukuran kiblat ditangguhkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung penularan Covid-19 dan mereka yang mendaftar akan dihubungi kelak untuk janji temu.

Sementara itu, Maisarah Mansor, 35, yang menetap di kuarters kakitangan awam di Putrajaya berkata sebelum ini, mereka sekeluarga menentukan arah kiblat di kediaman itu berdasarkan maklumat daripada jiran yang terlebih dahulu berpindah ke situ.

Bagaimanapun apabila mereka menggunakan aplikasi dalam telefon pintar, arah yang ditunjukkan tidak sama menyebabkan mereka mengambil keputusan menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh PAFNS.

“Kini, kami sekeluarga dapat menunaikan ibadah dengan lebih tenang dan yakin kerana tidak ada lagi timbul keraguan berkenaan arah kiblat,” katanya.

Sementara itu, bekas Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata perkhidmatan yang ditawarkan oleh persatuan itu membolehkan umat Islam mendapat arah kiblat yang lebih tepat.

Katanya, walaupun kedudukan arah kiblat yang darjahnya terpesong antara satu hingga tiga darjah masih boleh dimaafkan, namun sekiranya ia melebihi daripada jumlah itu, masyarakat harus memperbetulkan arah kiblat kerana ia adalah satu daripada prasyarat sah solat.

-BERNAMA


Pengarang :