Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dilantik menjadi anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Foto: Twitter Dr Adeeba Kamarulzaman
AGENDANASIONAL

Alat pengukur tingkat oksigen mampu bantu selamatkan nyawa

SHAH ALAM, 30 JUN: Pemberian alat pengukur tingkat oksigen atau oximeter oleh Kerajaan Selangor kepada golongan disyaki positif Covid-19 mampu membantu menyelamatkan nyawa.

Ahli Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata alat itu sebahagian kit penilaian di rumah digunakan bagi mengetahui paras kandungan oksigen dalam badan.

Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman berkata dalam situasi pandemik ketika ini ada yang dijangkiti Covid-19 tidak menyedari penurunan kandungan oksigen dalam badan yang menyebabkan kegagalan organ dan membawa maut.

“Kadar bacaan oksigen normal adalah sekitar 98 peratus ke atas, apabila terkena jangkitan Covid-19 ia akan turun sedikit demi sedikit. Apa yang dinamakan ‘happy hypoxia’ ini berlaku agak perlahan, tak merasa sesak nafas.

“Jadi adanya alat pengukur oksigen ini bagi saya amat mampu menyelamatkan nyawa, jika bacaan turun ke paras 94 atau 95 peratus, sebaiknya cepat dapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Bual Bicara – Covid-19: Mencari Jalan Keluar yang disiarkan secara langsung TV Selangor, malam tadi.

Pada 20 Jun, Kerajaan Negeri memperuntuk RM5 juta untuk menyediakan kit penilaian di rumah mengandungi oximeter, bekalan ubat-ubatan, pelitup muka dan jangka suhu bagi kegunaan individu disyaki positif Covid-19.


Pengarang :