Kawat duri diletakkan di tiga taman perumahan sekitar Sabak Bernam yang dikenakan PKPD ketika tinjauan pada 12 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Ambil iktibar PKPD Sabak Bernam, jangan sambil lewa

SABAK BERNAM, 12 JUN: Penduduk sekitar Sabak Bernam disaran mengambil iktibar daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada Mei lalu.

Ahli Dewan Negeri Sabak berkata penduduk tidak boleh bersikap sambil lewa berikutan virus itu menyebabkan tiga kematian di kawasan terbabit.

“Saya melihat ramai penduduk mulai sedar betapa seriusnya kes Covid-19. Jika sebelum ini ada yang ambil sikap sambil lewa untuk membuat ujian saringan tetapi kali ini tidak lagi,” kata Ahmad Mustain Othman.

Beliau bercakap pada sidang media penamatan PKPD Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima di Pusat Kawalan Operasi Bencana Sabak Bernam di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berharap orang ramai tidak mengambil kesempatan untuk bergerak bebas selepas PKPD ditamatkan.

“Seluruh negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sehingga 28 Jun. Teruskan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), sayangi diri dan orang sekeliling kita,” katanya.

PKPD di tiga taman perumahan di Sabak Bernam sejak 30 Mei akan ditamatkan jam 11.59 malam ini, mengambil kira penurunan kes Covid-19 hasil disiplin penduduk mematuhi SOP.

Seramai 5,235 penduduk menjalani saringan Covid-19 dengan 164 individu disahkan positif.


Pengarang :