Selangorkini
Orang ramai mengimbas kod bar aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sebelum menjalani Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri di Stadium Jugra, Kuala Langat pada 3 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA SELANGOR

Anak pujuk ibu jalani saringan, mahu pastikan bebas Covid-19

BANTING, 4 JUN: Seorang anak berjaya memujuk ibunya membuat saringan Covid-19 selepas risau dengan penemuan varian baharu virus itu.

Atikah Azman,24, berkata beliau sedaya upaya memujuk Rusidah Simon,57, melakukan ujian calitan bagi memastikan mereka bebas daripada jangkitan wabak berkenaan.

“Ini pertama kali ibu lakukan saringan. Memang kami bukan kontak rapat tapi ada penduduk kampung disahkan positif Covid-19.

“Tambahan sekarang banyak kes tidak bergejala serta penemuan varian baharu. Memandangkan saringan ini tak perlu bayar, saya ajak ibu buat saringan juga,” katanya ketika ditemui di lokasi saringan komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting hari ini.

Rusidah Simon, 57 ketika ditemui pada Program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri di Stadium Jugra, Kuala Langat pada 3 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Rusidah yang juga seorang peniaga berkata beliau sedar akan kepentingan saringan namun berasa gerun ketika proses calitan dibuat.

“Tadi makcik tak rasa terlalu sakit cuma bersin banyak kali. Program ini bagus kerana kita dapat kesan virus,” katanya.

Seorang pekerja logistik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut memanfaat saringan dijalankan di Stadium Jugra dengan membawa semua ahli keluarganya.

Mohd Abdul Hanan Abdul Rashid,31, berkata beliau bersama isteri dan tiga anak berusia lima hingga sembilan tahun memilih kaedah pandu lalu kerana lebih selesa.

“Saya mengambil cuti separuh hari kerana mahu semua disaring. Saya risau sekiranya dijangkiti wabak kerana kerap keluar bekerja.

“Kurang dari lima minit, kami semua selesai disaring. Proses saringan pantas dan memudahkan peserta,” katanya.

Sejak 8 Mei hingga 10 Jun ini, Kerajaan Selangor mengadakan program pengawasan Covid-19 membabitkan semua 56 DUN negeri ini.

Sehingga Isnin, lebih 81,000 individu menyertai program berkenaan dan hampir 3,000 peserta disahkan positif menerusi saringan menggunakan kit pantas antigen (RTK-Ag).


Pengarang :