Presiden Parti KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar dakwa ada usaha lengahkan sidang Parlimen

SHAH ALAM, 26 JUN: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa ada usaha bagi melengahkan pembukaan sidang Parlimen berikutan kegagalan kerajaan menguruskan Covid-19.

Ketua pembangkang kesal kilang dan restoran boleh beroperasi, namun sidang Parlimen untuk membincangkan isu pandemik dalam negara tidak dibenarkan.

“Mengapa untuk mengadakan sidang Parlimen seolah-olah begitu payah dan sukar sedangkan kilang, restoran dan kini ada beberapa Dewan Undangan Negeri juga sudah mula beroperasi?

“Kita juga maklum bahawa ada usaha yang sistematik sedang digerakkan untuk menggunakan pejabat peguam negara dan pejabat speaker Parlimen bagi melengahkan sesi Parlimen di saat kerajaan ini terus gagal mengemudi negara saat wabak,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Port Dickson menggesa perdana menteri dan peguam negara bersikap konsisten apabila memetik sebarang peruntukan yang terkandung dalam perlembagaan.

Menurutnya, kenyataan peguam negara berlatarbelakangkan Agong dan Raja-Raja Melayu disifatkan sebagai melampau serta menghina Istana Negara sekali gus mengheret negara ke krisis perlembagaan.

“Perlembagaan menyatakan pengisytiharan darurat dan ordinan darurat mesti didebat serta diundi di Parlimen. Kegagalan PN (Perikatan Nasional) untuk menghormati Parlimen meletakkan Malaysia dalam zon bahaya krisis perlembagaan.

“Saya mengakui negara sedang berdepan kemelut dan ini bukan masa untuk bermain politik. Sekarang adalah masa untuk bersatu-padu dan merungkai serta merencana tindakan yang tuntas. Perlembagaan mesti dihormati, apatah lagi di saat krisis hari ini,” kata Anwar.


Pengarang :