Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama seorang warga emas yang juga penerima vaksin Pfizer BioNTech di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Subang Jaya pada 28 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar: Guna pendekatan turun padang, bantu rakyat daftar vaksin

SHAH ALAM, 16 JUN: Kerajaan disaran menggunakan pendekatan turun ke setiap kawasan bagi membantu rakyat mendaftar vaksinasi Covid-19, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang berkata kaedah itu dilihat dapat mempercepatkan proses pendaftaran sekali gus mengurangkan jumlah jangkitan serta risiko kematian.

“Kita kena pergi ke setiap kawasan. Masa pilihan raya umum (PRU) kita boleh kerah jentera bawa orang sakit, yang atas katil… kita bawa (mengundi).

“Sekarang ini (pendaftaran rendah) sebab sikap ketua yang pandang rendah pada orang bawah. Anggap orang tak mau daftar tapi sebenarnya kamu tak dapat jalankan tugas,” katanya pada program Sembang Spontan di Facebook malam tadi.

Program kira-kira satu jam itu dikendalikan Dato’ Afdlin Shauki.

Anwar berkata kerajaan seharusnya terus memberi suntikan kepada individu yang bersetuju divaksin tanpa perlu menunggu proses pendaftaran di MySejahtera.

“Vaksin dan sampai. Jangan hanya janji tetapi hanya beri golongan VIP dan petugas barisan hadapan sahaja…yang lain tidak dapat. Bagi pelbagai alasan.

“Patutnya mudahkan. Kalau negara lain lepas daftar terus suntik vaksin. Kita minta bagi kebenaran doktor swasta (suntik) dari Mac tapi sampai sekarang kena isi borang…sampai ramai mati,” katanya.

Sebelum ini Pakatan Harapan menggesa Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 membenarkan Kerajaan Negeri dan hospital swasta menjual vaksin bagi mempercepatkan proses pengendaliannya.


Pengarang :