Petugas Kesihatan Selcare memasukkan sampel calitan ke dalam bekas khas ketika Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Merdeka Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 8 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar saran kerajaan tingkat kadar ujian kesan Covid-19

SHAH ALAM, 10 JUN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan persekutuan meningkatkan kadar pengujian dalam kalangan rakyat bagi membendung penularan Covid-19.

Ketua pembangkang berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya dilaksanakan ketika ini adalah tempoh terbaik yang perlu dimanfaatkan susulan peningkatan jangkitan termasuk kes sporadik serta kadar kematian.

Presiden Parti Keadilan Rakyat berkata langkah melipatgandakan saringan bersesuaian dengan syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang memaklumkan 10 hingga 30 pengujian bagi setiap satu kes yang telah disahkan.

“Demi rakyat Malaysia, saya benar-benar berharap sebab untuk mengurangkan kadar pengujian bukan menggambarkan kes semakin menurun bila secara realitinya kerajaan terus gagal dan rakyat terus mati.

“Dengan tindakan besar-besaran kita mendapat gambaran sebenar tentang penularan Covid-19, ambil langkah proaktif untuk kuarantin dan pengesanan kontak bagi melindungi warga yang terdedah dengan marabahaya untuk tiga bulan mendatang,” katanya dalam kenyataan.

Anwar mengulas laporan Kementerian Kesihatan berhubung purata kes jangkitan Covid-19 sebanyak 99,094 kes sejak tujuh hari lalu dengan kadar pengujian semakin menurun.

Pakar perubatan turut mempersoalkan kadar rendahnya dan percaya laporan harian tidak menggambarkan jumlah kes jangkitan sebenar dengan secara logik kadar positif Covid-19 pada tujuh peratus atau lebih menggambarkan langkah menggurangkannya adalah salah.

Beliau berkata persoalan itu pernah diajukan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai rasional kerajaan tidak meningkatkan kadar ujian dan hanya menunggu fasa vaksinasi besar-besaran bermula pada Julai atau Ogos ini.

Katanya, gesaan itu dibuat sejak tahun lalu dan kebelakangan ini namun tiada respon serta tindakan pantas dari pihak berwajib.

“Ini secara tidak langsung menggambarkan langkah darurat hanya untuk menutup kelemahan kerajaan serta untuk mereka mengelak dari kebertanggungjawaban,” katanya.

Selangor mula melaksanakan saringan Covid-19 berskala besar di lokasi panas pada 11 April tahun lepas selain turut memperkenal saringan pandu lalu.

Sejak 8 Mei lalu hingga hari ini, Kerajaan Negeri menjalankan program pengawasan wabak secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN dengan menyasarkan 100,000 penyertaaan.


Pengarang :