AGENDANASIONAL

Artis harus berdisiplin patuhi SOP, jadi teladan awam

SHAH ALAM, 1 JUN: Artis atau pempengaruh (influencer) harus berdisiplin dalam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan Covid-19.

Pelakon, Nabila Huda Suhaimi, 37, berkata golongan berkenaan sebaiknya menggunakan media sosial ke arah kebaikan agar menjadi ikutan masyarakat.

“Ikutkan memang ramai individu melanggar SOP tetapi disebabkan kita ini artis atau golongan berpengaruh, apa yang dipapar di media sosial menjadi tumpuan orang awam.

“Saya nasihatkan artis dan semua influencer gunakan media sosial ke arah kebaikan, pos sesuatu yang tidak menimbulkan kebencian kepada orang awam, elak untuk dibenci,” katanya menerusi rakaman Bual Bicara SelangorTV malam ini.

Anak kepada penyanyi rock, Amy Search yang baharu sahaja sembuh daripada jangkitan Covid-19 itu juga meminta masyarakat agar menghentikan sikap menuding jari kepada mana-mana individu sebaliknya bantu petugas barisan hadapan memutuskan rantaian wabak.

“Biar kita terkenal sebab bakat atau kebaikan jangan dibenci sebab kesalahan atau keburukan yang dibuat.

“Hentikan menunding jari kepada mana-mana orang, buang sikap saling membenci sebaliknya bantu petugas barisan hadapan kita selamatkan negara untuk memutuskan rantaian wabak,” katanya lagi.

 


Pengarang :