Tiga adik beradik dari Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1) Siti Nur Alisha Dania, 12, Muhammad Afif Darwish, 7, dan Muhammad Alif Daniel, 9, mengikuti pembelajaran dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian ketika tinjauan pada 20 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Asing pelajar kepada kelompok kecil, elak hilang fokus ketika PdPR

PETALING JAYA, 8 JUN: Golongan pendidik disaran mengasingkan pelajar kepada kelompok kecil bagi meningkatkan keberkesanan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata kajian menunjukkan pelajar hanya memberi fokus selama 20 minit sekiranya melaksanakan PdPR seperti dalam bilik darjah.

“Jika lebih lama PdPR dilaksanakan, fokus pelajar semakin kurang. Pakar mencadangkan topik pengajaran guru dipecahkan kepada unit lebih kecil terutama melibatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Misalnya satu topik dipecahkan kepada tiga atau empat sub-topik bagi setiap sesi PdPR. Selepas 20 minit guru akan berikan latihan, kemudian sambung lagi 20 minit PdPR,” lapor portal Kosmo! hari ini.

Annuar berkata, guru perlu mengajar berasaskan penyelesaian masalah serta menumpukan aspek latihan selain membimbing pelajar menyediakan jadual ulang kaji secara sistematik.

“Edaran nota dan bahan bantu belajar oleh guru dapat membantu pelajar yang tertinggal topik tahun lepas. Kerja berkumpulan secara dalam talian juga banyak membantu pelajar menelaah topik tertinggal,” katanya.

 


Pengarang :